Berita Harian

‘Lihat rakan dihempap batu depan mata’

-

Sepang: Seorang rakyat Malaysia, Ong Lee Jye, langsung tidak menyangka percutian bersama sekumpulan 20 bekas rakan sekelasnya ke Lombok bertukar tragedi apabila terbabit dalam insiden gempa bumi di pulau peranginan itu, menyebabka­n rakannya terbunuh.

Lee Jye, 56, berkata beliau melihat rakannya, mendiang Datin Tai Siew Kim dihempap batu yang jatuh akibat gegaran gempa bumi itu ketika berada di kawasan Air Terjun Tiu Kelep Senaru.

Menceritak­an detik cemas mengorbank­an dua rakyat Malaysia, termasuk Lim Sai Wah itu, beliau berkata, banyak batu bersaiz kecil dan besar jatuh, selain mendengar bunyi dentuman kuat seperti bom.

“Siew Kim berada di tingkat (air terjun) yang lebih tinggi dari kedudukan saya. Kedudukann­ya lebih ke dalam dan hampir dengan air terjun untuk mengambil gambar yang cantik, malangnya dia dihempap batu dalam kejadian itu.

“Ketika nampak batu jatuh, saya lari menyelamat­kan diri hingga tidak sedar buku lali cedera dan berdarah.

“Ambulans mengambil masa agak lama untuk sampai ke kawasan kejadian kerana ia jauh ke dalam dan memerlukan kami mendaki 40 minit,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, petang semalam.

17 mangsa terselamat tiba

Lee Jye antara 17 rakyat Malaysia yang tiba di klia2 semalam selepas terselamat dalam insiden gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegark­an Lombok Timur, Ahad lalu. Ketibaan mereka dengan pesawat AK309 dari Lombok disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementeria­n Luar, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Beliau berada di Lombok bersama bekas rakan sekelasnya dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Jementah, Segamat Johor, yang bersekolah di situ 40 tahun lalu.

Cheong Kim Leong, 56, pula berkata, kejadian berlaku ketika beliau berada di restoran bersama isteri dan dua ahli keluarga lain.

Sementara itu, jasad Siew Kim, 56, yang juga Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily dan Sai Wah, 56, tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6 petang semalam.

Antara hadir menyambut ketibaan dan memberi penghormat­an terakhir kepada mendiang ialah Menteri Pengangkut­an, Anthony Loke Siew Fook, suami Siew Kim, Datuk Teoh Yang Khoon, 56, dan dua anak lelakinya, Teoh Jian Yi, 22, serta Teoh Zheng Yi, 20.

Jasad Siew Kim dibawa ke Taman Peringatan Nirvana, Sungai Besi bagi upacara keagamaan, manakala jasad Sai Wah dibawa pulang ke kampungnya di Segamat, Johor.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] ?? Sebahagian rakyat Malaysia yang terselamat daripada gempa bumi di Lombok tiba di klia2, petang semalam.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] Sebahagian rakyat Malaysia yang terselamat daripada gempa bumi di Lombok tiba di klia2, petang semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia