Berita Harian

Tiga ‘ejen perisik’ bantu Singapura

-

Petaling Jaya: Tiga pemain kebangsaan Singapura yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) muncul sebagai ‘ejen perisik’ buat pengendali pasukan, Nazri Nasir sebelum pertemuan menentang Harimau Malaya aksi Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Mereka adalah Safuwan Baharudin yang kini mewakili Pahang, diikuti Shakir Hamzah (Kedah) dan tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun.

“Ia bagus untuk saya dalam usaha mengenali pemain Malaysia.

“Sebagai jurulatih, saya tidak hanya perlu buat apa yang saya mahu lakukan tetapi perlu juga bertukar pendapat dengan pemain.

“Sejujurnya ia dapat membantu saya dan ini adalah kelebihan yang kami ada untuk menghadapi mereka pada perlawanan kali ini,” kata Nazri ketika sidang media di sini, semalam.

Malaysia lebih tertekan

Walaupun hanya baharu menyertai pasukan kira-kira tiga minggu lalu, Nazri yang juga bekas kapten Singapura tetap memasang impian untuk menjulang kejuaraan sambil menyifatka­n tuan rumah kini berdepan dengan tekanan yang cukup tinggi.

Walaupun Malaysia bakal beraksi di gelanggang sendiri dan memiliki beberapa pemain hebat, namun Nazri meramalkan anak buah Tan Cheng Hoe kini berada dalam situasi tertekan untuk menghadirk­an keputusan positif.

“Ini cabaran baharu untuk saya dan pastinya perlawanan menentang Malaysia sesuatu yang boleh mengimbau banyak sejarah. Dalam padang kita perlu laksanakan tugas hidup mati, namun di luar padang kami tetap kawan.

“Daripada senarai pemain yang saya pilih, mereka dinilai berdasarka­n prestasi semasa dan juga pengalaman yang dimiliki. Walaupun beraksi di gelanggang sendiri jadi kelebihan buat mereka, tetapi saya berasakan mereka lebih tertekan berbanding kami,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia