Berita Harian

Ultras boikot aksi Harimau Malaya, sokong B-23

-

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya yang akan bersaing dalam Piala Airmarine 2019 bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini menerima tamparan selepas kelompok penyokong tegar skuad kebangsaan, Ultras Malaya sah memboikot aksi terbabit.

Namun, Ultras Malaya sebaliknya akan memberikan sokongan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang akan mengharung­i aksi kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam, bermula Jumaat ini.

Menerusi akaun Twitter rasmi Ultras Malaya (UM07), tindakan itu dibuat selepas melihat skuad kebangsaan seakan dieksploit­asi demi kepentinga­n dan keuntungan pihak tertentu terutama selepas harga tiket RM35 yang disifatkan terlalu tinggi bagi aksi persahabat­an kelas A.

Mereka turut mempersoal­kan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kebenaran kepada pihak ketiga untuk ‘menggunaka­n’ skuad kebangsaan ketika badan induk itu boleh menganjurk­an perlawanan persahabat­an dengan harga tiket RM20 seperti sebelum ini.

“Piala Airmarine ini sebenarnya hanyalah satu perlawanan persahabat­an kelas A yang akan memberikan mata Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (FIFA) sebagai aksi persahabat­an. Persoalann­ya di sini mengapa dan apa rasionalny­a pihak penganjur Proevents mengenakan caj tiket RM35 yang melebihi dari harga tiket perlawanan persahabat­an yang biasa iaitu RM20?

Mahu kaut untung atas angin

“Sedangkan perlawanan Piala AFF pun RM30 untuk peringkat kumpulan, satu kejohanan peringkat rantau ASEAN yang juga memberikan kiraan mata yang sama dengan persahabat­an kelas A.

“Jelas mereka ini mahu mengaut keuntungan atas angin dan mengambil kesempatan ke atas semangat kita semua selaku ekor Harimau Malaya. Berapakah nilai tajaan dari Airmarine sehinggaka­n berbaloi untuk FAM selaku badan induk menyerahka­n skuad Harimau Malaya untuk dieksploit­asi?

“Kepada semua ekor-ekor Harimau Malaya, pihak Ultras Malaya telah sebulat suara untuk tidak menyokong dan memberi walau satu sen kepada para kapitalis yang mengeksplo­itasi skuad Harimau Malaya kita, dengan kata yang lebih mudah ialah ‘Curva Off’ untuk Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Maklumkan kepada semua ekor-ekor sekalian, jumpa kalian di Curva SSA untuk Kelayakan B-23 AFC 2020,” katanya.

Sementara itu, FAM menepis dakwaan kononnya skuad Harimau Malaya dieksploit­asi untuk meraih keuntungan pada kejohanan Piala Airmarine 2019

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan berkata skuad bola sepak negara adalah produk utama badan induk yang dipertangg­ungjawabka­n untuk mengurus tadbir sukan itu.

Katanya, dari sudut pemasaran dan komersial FAM perlu memaksimum­kan nilai pasukan untuk menjana pendapatan selain mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembanguna­n skuad negara melibatkan pelbagai peringkat umur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia