Berita Harian

Tiga jam jalan kaki pujuk murid kembali ke sekolah

Tiga guru tak putus asa pikat kanak-kanak terus belajar

- Oleh Olivia Miwil

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, sebuah sekolah terpencil di pedalaman daerah ini, mengambil inisiatif melawat ke rumah sambil memujuk seorang murid Tahun Empat kembali belajar, walaupun terpaksa berjalan sejauh 12 kilometer (km) untuk berbuat demikian.

Guru Besar SK Buayan, Matius Kusop, berkata tiga guru terbabit mengambil masa tiga jam berjalan kaki pada minggu lalu, untuk melawat murid berkenaan yang tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu.

Katanya, ini cubaan kedua diambil mereka untuk memujuk murid lelaki itu supaya kembali ke sekolah.

“Sebelum ini dalam lawatan pertama, guru kami juga pergi ke rumahnya di Kampung Pongobonon, tetapi mereka hanya dapat berjumpa dengan ibu bapa murid itu saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Matius berkata, kanak-kanak itu mendakwa tidak pergi ke sekolah kerana belum pulih daripada sakit kaki, namun pihak sekolah dimaklumka­n bapanya bahawa dia sudah pulih tetapi mereka tidak dapat memujuknya untuk kembali ke sekolah.

Asrama, makanan percuma

“Abang kepada murid itu berhenti sekolah ketika berada dalam Tahun Enam yang mana difahami pada masa lalu, murid terpaksa berjalan jauh setiap hari.

“Tetapi sekarang, sekolah ini sudah menyediaka­n asrama dan guru menjaganya (termasuk menyediaka­n makanan percuma).

“Bagaimanap­un, dua adik mereka bersedia datang ke sekolah,” katanya sambil menambah murid berusia 10 tahun itu memberi alasan tidak lagi minat belajar.

Matius berkata, dalam lawatan itu, ibu bapa dan guru juga tidak berjaya memujuk murid itu untuk kembali ke sekolah, malah dia menarik baju ibunya sehingga koyak ketika guru cuba memujuknya.

“Kita tidak akan berputus asa untuk membawanya ke sekolah,” katanya.

Terletak di kawasan Banjaran Crocker, SK Buayan, sekolah Kategori 3 itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

 ?? [FOTO IHSAN SK BUAYAN] ?? Guru SK Buayan dan ibu murid Tahun Empat berusaha memujuk kanak-kanak terbabit yang enggan kembali ke sekolah.
[FOTO IHSAN SK BUAYAN] Guru SK Buayan dan ibu murid Tahun Empat berusaha memujuk kanak-kanak terbabit yang enggan kembali ke sekolah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia