Berita Harian

Sabah bantu anak tiada kerakyatan

-

Kota Kinabalu: Gabungan NGOS Negeri Sabah (GANNOS), menghargai usaha kerajaan negeri membantu kanak-kanak yang lahir di negeri ini dan dikategori­kan warga asing walaupun ibu atau bapa mereka adalah rakyat tempatan.

Yang Dipertua GANNOS, Datuk Nani Sakam, berkata menerusi program pemutihan akan dilaksanak­an kerajaan negeri, ia memastikan masa depan kanak-kanak terbabit terjamin, seterusnya mengelak masalah sosial disebabkan hak mereka diabaikan.

Beliau berkata, isu individu tiada dokumen atau tiada kerakyatan di negeri ini walaupun lahir di Sabah, dibangkitk­an GANNOS sebelum ini, termasuk membuat bancian di setiap daerah bagi mengenal pasti jumlah mereka.

Katanya, menerusi bancian dijalankan dalam tempoh sebulan antara Jun hingga Julai tahun lalu, GANNOS mengenal pasti kirakira 60,000 individu di Sabah tiada dokumen pengenalan diri walaupun lahir di Sabah.

“Hasil bancian mendapati punca individu terbabit tiada dokumen disebabkan pelbagai faktor termasuk perkahwina­n campur dengan warga asing dan individu menetap di kawasan pedalaman.

“Ada beberapa jenis individu tiada dokumen atau tiada kerakyatan di Sabah ini termasuk apabila seorang warga negara berkahwin dengan pasangan dari luar negara, sijil nikah tidak sah menyebabka­n anak mereka tidak diberi sijil lahir.

“Faktor lain disebabkan lewat mendaftar anak di Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) kerana kemiskinan, tiada kenderaan bagi mereka yang menetap di pedalaman dan kurang kesedaran mendaftark­an anak dan mendapatka­n sijil lahir,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia