Berita Harian

Agihan aset pertahanan baharu perkukuh TDM

-

Kota Samarahan: Sarawak diharap menerima agihan aset pertahanan baharu bagi memperkuku­hkan keupayaan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam usaha mengekalka­n keamanan wilayah ini.

Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang, berkata pengagihan aset baharu itu perlu bersesuaia­n dengan cabaran dihadapi masa kini.

“Kertas Putih Pertahanan sudah digubal dan saya amat mengharapk­an aset pertahanan baharu diberi perhatian untuk Sarawak,” katanya.

Choon Siang berkata demikian pada ucapan sempena Majlis Serah Terima Tugas Panglima Divisyen Pertama Infantri antara beliau dengan penggantin­ya, Mejar Jeneral Datuk Mohd Din Abu di Kem Muara Tuang, di sini, semalam.

Choon Siang yang menjadi pegawai TDM paling lama berkhidmat, iaitu selama 42 tahun, lapan bulan dan sembilan hari akan bersara wajib pada 17 September ini.

Puas berkhidmat kepada negara

Beliau dilantik menjadi Panglima Divisyen Pertama Infantri selama sembilan bulan sejak 28 Mei tahun lalu.

Choon Siang berkata, beliau puas memberi perkhidmat­an kepada negara dengan menjawat beberapa jawatan penting TDM, termasuk Panglima 11 Briged Infantri dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja Para, pasukan elit payung terjun pertama negara.

Sementara itu, Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain dalam ucapan sempena majlis itu turut memuji keupayaan operasi Divisyen Pertama Infantri sepanjang dipimpin oleh Choon Siang.

“Dalam tempoh sembilan bulan itu, Divisyen Pertama Infantri berjaya mematahkan banyak aktiviti jenayah rentas sempadan menerusi Ops Keris Parang dan Ops Awas dijalankan.

“Sebanyak 97 rampasan barangan yang cuba diseludup dengan nilai RM1.2 juta berjaya dilakukan pasukan yang beroperasi di sempadan Malaysia-indonesia dan pasukan kita juga berjaya menahan seramai 177 pendatang asing tanpa izin yang cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram dalam tempoh itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia