Berita Harian

2 lagi suspek buang bahan tercemar direman 7 hari

-

Pasir Gudang: Dua lagi lelaki dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, ditahan polis, semalam.

Dua lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik industri di daerah ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata penangkapa­n dua suspek berkenaan menjadikan semua yang ditahan kini berjumlah 10 individu.

“Kedua-dua suspek yang (baru) ditahan itu direman tujuh hari mulai hari ini (semalam) hingga 25 Mac depan.

“Kedua mereka ditahan hasil siasatan ke atas sembilan suspek yang ditahan di kawasan Johor dan Perak, kelmarin (Ahad) dengan lapan masih direman.

“Hasil tangkapan dua suspek hari ini (semalam), polis turut berjaya menemui dan merampas sebuah lori di kawasan Pasir Gudang yang dipercayai digunakan bagi membuang sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Menara Aqabah Majlis Perbandara­n Pasir Gudang (MPPG), di sini, malam tadi.

Mohd Khalil berkata, kesemua 10 suspek yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 47 tahun.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan), Seksyen 284 (kelakuan cuai berkenaan benda beracun) dan Seksyen 326 kanun sama (menyebabka­n cedera parah).

“Siasatan kes dijalankan bersama antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam,” katanya.

Ada suspek miliki rekod jenayah

Beliau turut mengesahka­n seorang lagi suspek yang ditahan sebelum ini didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan polis terhadap sembilan suspek yang ditahan kelmarin, susulan kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, mendapati ada di antara mereka memiliki rekod jenayah, namun siasatan difokuskan terhadap pembabitan mereka dalam kes pembuangan sisa kimia berkenaan.

“Siasatan awal mendapati ada antara mereka terbabit kes jenayah dan siasatan sedang dijalankan, kita yakin akan dapat kenal pasti mereka yang bertanggun­gjawab.

“Mereka yang ditahan ini warga tempatan, iaitu pekerja syarikat tertentu dan mempunyai kaitan langsung dengan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksika­n Majlis Menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MOU) di antara Koperasi Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Pegawaipeg­awai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) dan Persatuan Industri Keselamata­n Malaysia (PIKM) di Bukit Aman, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkina­n ada lagi tangkapan dibuat bagi membantu proses siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia