Berita Harian

Bacaan Yasin mohon petunjuk temui Haziq

Keluarga tak percaya sebaran maklumat di media sosial, tunggu berita waris di Christchur­ch

- Oleh Zuliaty Zulkiffli bhnews@bh.com.my

Keluarga rakyat Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang parah dalam kejadian serangan di New Zealand Jumaat lalu, akan mengadakan majlis bacaan Yasin di masjid esok, bagi memohon bantuan supaya anak kedua mangsa, Mohd Haziq yang hilang selepas tragedi itu berjaya ditemui.

Zarina Shuib, 53, yang juga ibu saudara Mohd Haziq, 17, berkata remaja itu masih belum ditemui sejak insiden tembakan rambang berlaku ketika solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchur­ch, New Zealand.

Tiada perkembang­an terbaru

Beliau berkata, dia hanya mengetahui perkembang­an Mohd Tarmizi melalui adiknya, Mariani, 49, yang kini berada di New Zealand sejak dua hari lalu.

Katanya, setakat ini, mereka belum menerima sebarang perkembang­an terbaru mengenai anak saudaranya itu selepas tujuh hari kejadian itu berlaku.

“Selagi tak jumpa Mohd Haziq, kami sekeluarga di sini berasa susah hati dan akan mengadakan majlis bacaan Yasin di Masjid Jamek Hutan Kampung, di sini, Jumaat ini (esok) bagi memohon petunjuk Allah di mana dia berada sekarang.

“Bagaimanap­un, kami sedikit lega apabila dimaklumka­n Mohd Tarmizi sudah semakin pulih.

“November tahun lalu, Mohd Tarmizi pulang ke sini seorang diri dan memberitah­u dia mungkin tidak balik berhari raya di negara ini tahun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Tarmizi cedera terkena tembakan rambang pengganas yang menyebabka­n 50 jemaah dalam masjid itu meninggal dunia.

Zarina berkata, Mohd Tarmizi sekeluarga baru tiga tahun menetap di New Zealand dan sebelum ini menetap di Kajang, Selangor.

“Semua anaknya bersekolah di Kajang sebelum berpindah ke New Zealand, tetapi kami jarang bertemu mereka.

“Sekarang, saya hanya menunggu maklumat terkini daripada keluarga di sana dan sukar mempercaya­i sebarang sebaran maklumat di laman web dan media sosial kerana bimbang ia tidak betul, sekali gus membuatkan kesedihan kami bertambah,” katanya.

Selagi tak jumpa Mohd Haziq, kami sekeluarga berasa susah hati dan akan mengadakan majlis bacaan Yasin di Masjid Jamek Hutan Kampung, di sini, Jumaat ini (esok) bagi memohon petunjuk Allah di mana dia berada sekarang” Zarina Shuib, Ibu saudara

 ??  ?? Mohd Haziq Mohd Tarmizi Keratan akhbar BH, semalam.
Mohd Haziq Mohd Tarmizi Keratan akhbar BH, semalam.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia