Berita Harian

Nazril stabil selepas pembedahan kali ketiga

-

Shah Alam: Mohd Nazril Hisham Omar, seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa serangan pengganas di Masjid An-noor, Christchur­ch, New Zealand, Jumaat lalu, dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudah sedar selepas menjalani pembedahan kali ketiga.

Isterinya, Dr Zurinawati Mohi, 48, berkata selepas pembedahan di pinggangny­a yang dipercayai terkena peluru dijalankan kelmarin, Mohd Nazril, 46, banyak menunjukka­n perubahan positif.

“Alhamdulil­lah, selepas pembedahan kali ketiga ini suami banyak menunjukka­n perubahan yang baik. Suami juga berada dalam keadaan sedar namun masih sedikit ‘mamai’ berikutan kesan ubat.

“Beliau kini boleh bercakap, namun tidak banyak berikutan masih penat. Jika dia cakap kita dengar sahaja namun kadang-kadang agar sukar untuk difahami.

“Saya pun tidak mahu memaksa untuk dia bercakap. Biar suami berehat dan betul-betul sembuh dahulu. Bagaimanap­un, dia menunjukka­n banyak perubahan yang positif itu sudah membuat kami sekeluarga bersyukur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rawatan fisioterap­i

Pada masa sama, Zurinawati berkata, suaminya itu baharu sahaja menjalani rawatan fisioterap­i, pagi semalam.

“Suami saya menunjukka­n tindak balas walaupun hanya melakukan pergerakan ringan seperti yang disuruh oleh pakar perubatan yang merawatnya,” katanya.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelanconga­n Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam berkata, suaminya masih trauma dengan insiden itu.

“Suami saya kelihatan letih dan sukar untuk tidur. Dia seperti tidak mahu tidur mungkin berikutan tidak mahu berseorang­an. Dia juga dilihat tidak mahu berenggang. Jika saya tiada di sebelahnya walaupun sekejap, dia akan mula mencari saya,” katanya.

Zurinawati berkata, beliau dan suaminya itu tidak putus menerima kunjungan daripada orang ramai, termasuk Mufti dan Imam dari Australia.

“Mereka datang menjenguk suami dan berdoa untuk kesihatann­ya. Ada juga yang datang membawa air zam-zam selain memberi kata-kata semangat kepada kami,” katanya.

Mohd Nazril adalah seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden tembakan di Christchur­ch, New Zealand, Jumaat lalu.

Selain Mohd Nazril, Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Tarmizi Shuib, 42, juga sedang dirawat di Hospital Christchur­ch dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanap­un, anak lelaki Mohd Tarmizi, Mohd Haziq, 17, dilaporkan hilang dan gagal ditemui selepas kejadian tembakan itu.

 ??  ?? Mohd Nazril ditemani Zurinawati ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Christchur­ch.
Mohd Nazril ditemani Zurinawati ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Christchur­ch.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia