Berita Harian

Bayi maut dalam nahas 3 kenderaan

-

Lahad Datu: Bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitka­n tiga kenderaan di kilometer 15 Jalan Lahad Datu - Sandakan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa yang menaiki kenderaan Isuzu Dmax difahamkan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kenderaan yang juga bapa mangsa berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan manakala kakaknya berusia 15 tahun, yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah sebuah lori 10 tan jenis Nissan dan sebuah bas penumpang jenis Scania.

Katanya, kejadian dikatakan berpunca daripada pemandu lori berusia 32 tahun yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kenderaan dinaiki mangsa.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, lori dan bas penumpang bergerak menuju ke arah Lahad Datu manakala mangsa bergerak bertentang­an menuju ke Sandakan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu lori yang hilang kawalan memasuki lorong bertentang­an dan terlanggar pacuan empat roda berkenaan sebelum kenderaan mangsa sekali lagi dirempuh oleh bas penumpang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarka­n semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia