Berita Harian

Ujian pengaruh Anwar, ketokohan Mat Hasan

Ujian pengaruh Anwar, ketokohan Mohamad

-

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim, Muhammad Mustakim Ramli, Abnor Hamizam Abd Manap dan Mohd Khidir Zakaria

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan, 13 April ini bukan sekadar saingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selepas kekalahan berturut-turut pakatan parti pemerintah di Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.

PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu lebih kepada ujian terhadap ketokohan dua pemimpin besar parti utama di negara ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal menjadi Perdana Menteri dan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, masing-masing dijangka menjadi tarikan utama pada kempen selama dua minggu yang bermula hari ini.

Selepas DAP kecundang di PRK Parlimen Cameron Highlands dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tewas di

PRK DUN Semenyih, PKR kini menggalas tanggungja­wab berat memastikan momentum kemenangan BN dihentikan.

Anwar yang menang kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti besar pada PRK Oktober lalu, memang diharapkan penyokong PH agar pengaruhny­a dapat melimpah dari Port Dickson yang bersempada­n dengan Rantau bagi membantu merampas kawasan DUN itu daripada BN.

Jika PH kalah di Rantau, ia mungkin mencalar sedikit aura ketokohan ahli politik veteran itu.

Sentimen pengundi kini berbeza

Bagi Mohamad pula, apa yang dipertaruh­kan adalah lebih besar lagi. Jika beliau kalah, mungkin ada yang akan mempersoal­kan sama ada Mohamad boleh terus diharapkan untuk membangunk­an semula UMNO yang sudah banyak dirosakkan pemimpinny­a sebelum ini.

Kerjasama UMNO-PAS dikatakan menjadi antara punca kekalahan PH dalam dua PRK tahun ini, dengan gandingan parti pembangkan­g itu dijangka terus menggunaka­n isu agama dan bangsa bagi meraih undi daripada pengundi Melayu yang mewakili lebih daripada separuh jumlah pengundi di DUN Rantau.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui kekalahan PH antaranya disebabkan kerjasama PAS-UMNO selain isu yang menyentuh sensitivit­i Islam dimainkan pembangkan­g.

Keputusan Anwar mengekalka­n Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, yang kurang berpengala­man sebagai calon berdepan Mohamad yang juga bekas Menteri Besar, menuntut pengaruh dan kewibawaan Presiden PRK itu untuk memenangi hati pengundi.

Sentimen pengundi kini pastinya berbeza ketika Anwar yang menang mudah pada PRK Parlimen Port Dickson, Oktober tahun lalu dengan mengetepik­an cabaran PAS ketika pengundi mengharapk­an corak kepemimpin­annya kelak.

Namun, belum pun lagi kempen PRK DUN Rantau bermula, kini tersebar di media sosial Mohamad yang menyandang kerusi itu sejak tiga penggal, sudah menang dengan 3,000 undi.

Tambah cabaran PKR

Sama ada ia sekadar perang psikologi, khabar itu sendiri turut menambah cabaran yang perlu ditempuh PKR untuk merampas kerusi itu.

Begitupun, ini tidak bermakna Mohamad berdepan laluan mudah kerana UMNO dan BN masih terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan perbicaraa­n pertama membabitka­n kes dana RM42 juta SRC Internatio­nal Sdn Bhd, bermula Rabu ini.

Selepas menyapu bersih empat PRK, termasuk di Port Dickson tahun lalu, PH ibarat ‘tersandung kaki’ selepas tewas dalam dua PRK awal tahun ini di Cameron Highlands dan Semenyih kepada BN.

Adakah strategi kerjasama PAS-UMNO yang akan dikekalkan mampu mengulangi kejayaan BN di PRK DUN Rantau seperti yang diraih pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan PRK DUN Semenyih?

DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi luar negara.

Daripada jumlah itu, 11,283 pengundi atau 55.11 peratus adalah Melayu; 3,849 pengundi atau 18.80 peratus adalah Cina; 5,336 atau 26.06 peratus adalah India dan empat atau 0.02 peratus lain-lain bangsa.

Pengundi yang berusia antara 40 dan 59 tahun adalah seramai 8,538 orang atau 40.37 peratus, mereka yang berusia antara 21 dan 39, seramai 7,589 atau 36.26 peratus, dan yang berusia 60 dan lebih, seramai 4,799 atau 22.94 peratus.

Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan. PH kini menguasai 20 daripada kerusi terbabit manakala BN, 15.

Setakat ini, hanya tiga calon yang dikatakan akan bertanding bagi kerusi DUN Rantau, termasuk seorang calon Bebas.

Walau apapun percaturan­nya, PH dan BN berdepan saingan yang semestinya akan membentuk persepsi rakyat terhadap mereka serta mencorakka­n masa depan politik tanah air.

Persoalan apakah PH akan terus diberi harapan dengan ketokohan Anwar atau BN yang diterajui Mohamad kembali bertapak di hati rakyat akan terungkai selepas keputusan PRK DUN Rantau diumumkan pada malam 13 April ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia