Berita Harian

TUJUH TULANG RUSUK PATAH HANYA DIKESAN KETIKA BEDAH SIASAT

Saksi ke-27 dakwa tidak dimaklum kecederaan sewaktu Adib dirawat di ICU IJN

- Oleh Norrasyida­h Arshad

Tujuh tulang rusuk kiri belakang Muhammad Adib Mohd Kassim yang patah, hanya dikesan ketika proses bedah siasat mayat dilakukan pada 18 Disember 2018.

Saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, berkata pihaknya tidak mempunyai pengetahua­n berkenaan kecederaan itu kerana ketika di Institut Jantung Negara (IJN), mereka tidak dimaklumka­n berkenaan kepatahan tujuh tulang rusuk terbabit.

Berikutan itu, Dr Mohd Shah berkata, pihaknya memohon

bantuan pegawai penyiasat polis untuk mendapatka­n imbasan CT (CT Scan) dan X-ray Muhammad Adib, bagi mengetahui sama ada kecederaan berkenaan terjadi ketika kejadian atau disebabkan rawatan selama 21 hari.

Kecederaan unik

“Kecederaan unik itu tidak dilihat ketika saya melakukan pemeriksaa­n klinikal terhadap mangsa, ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, pada 30 November 2018.

“Kami turut tertanya-tanya berkenaan hal ini kerana kami tiada maklumat mengenainy­a,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah, pada hari ke20 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Shah yang pernah terbabit dengan lebih 1,000 bedah siasat, berkata pihaknya hanya dapat merungkai punca kecederaan selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian, selepas lima hari bedah siasat dijalankan.

Katanya, sebelum melawat lokasi, pihaknya tidak ada sebarang pandangan kukuh untuk mengaitkan punca kecederaan, malah mengambil pelbagai punca termasuk dipukul, ditendang, terajang atau terkena kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil kira kemungkina­n kecederaan Muhammad Adib disebabkan tersepit antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan van Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS), namun ia ditolak kerana jika tersepit, kecederaan dialami Muhammad Adib lebih parah.

“Ketika melawat lokasi, kami cari punca yang menyebabka­n tujuh rusuk belakang patah dan kami periksa FRT, lihat apa-apa objek nipis lurus dan menegak.

“Pada ketika itu, ada enam kemungkina­n, iaitu bucu kiri dan kanan jentera FRT serta dua tangga di belakang FRT yang memberi empat kemungkina­n menyebabka­n patah tujuh tulang rusuk,” katanya.

Saksi sama berkata, pihaknya kemudian dibawa melihat van EMRS dan ketika itu pemandu van berkenaan, Mohd Shahril Othman memaklumka­n, Muhammad Adib tiada dalam kenderaan ketika van terkena hentakan kedua yang kuat.

Dr Mohd Shah berkata, pada ketika itu, pihaknya mendapati pintu depan kiri EMRS mempunyai bahagian nipis, menegak dan anggaran ketebalan dua milimeter (mm).

“Hanya ketika itu kami berpandang­an objek tumpul dan nipis yang sangat bersesuaia­n dengan patah tujuh rusuk belakang secara menegak.

Periksa kenderaan EMRS

“Pemeriksaa­n seterusnya pada bahagian pintu depan kiri, iaitu pada kunci pintu (plate) sedikit menonjol dan ini bersesuaia­n dengan punca calar memanjang abdomen belakang 15 sentimeter (cm),” katanya.

Terdahulu, Dr Mohd Shah memberitah­u mahkamah bahawa bedah siasat menunjukka­n kesan kecederaan, tidak menunjukka­n mangsa dipukul atau diserang.

Katanya, tiada apa-apa kecederaan yang menunjukka­n kecederaan bercorak tangkisan atau akibat mempertaha­nkan diri dilihat, pada kedua-dua tangan dan kaki.

“Ia kecederaan sangat unik dan paling unik, patah tujuh tulang rusuk belakang dan ini kali pertama saya lihat kes tujuh rusuk patah secara lurus dan menegak,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO SAIRIEN NAFIS/BH] ?? Dr Mohd Shah menghadiri inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, semalam.
[FOTO SAIRIEN NAFIS/BH] Dr Mohd Shah menghadiri inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia