Berita Harian

Ketepi andaian awal Adib diserang

-

Shah Alam: Andaian awal kecederaan Muhammad Adib Mohd Kassim akibat diserang diketepika­n, selepas bedah siasat dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 18 Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, berkata sebelum tarikh berkenaan, dia ada melakukan pemeriksaa­n klinikal terhadap tubuh anggota bomba itu pada 30 November 2018.

Katanya, pemeriksaa­n klinikal berkenaan dilakukan selepas empat hari mangsa menerima rawatan di Intitut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata, ketika itu pihaknya menganggap kecederaan yang dialami mangsa disebabkan diserang seperti dipukul, ditendang dan ditumbuk.

Corak kecederaan

“Namun, selepas bedah siasat, kami tidak yakin dengan corak kecederaan itu berpunca akibat serangan.

“Nasib baik kami dipanggil awal kerana kami dapat membezakan kecederaan awal dan selepas yang dialami Muhammmad Adib,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada hari ke-20 prosiding inkues berkenaan dijalankan, semalam.

Dr Mohd Shah berkata, ketika bedah siasat dilakukan, pihaknya turut mempersoal­kan penemuan tujuh tulung rusuk belakang kiri yang patah, kerana beliau tidak dimaklumka­n perkara itu pada peringkat awal.

Katanya, selepas bedah siasat, pihaknya masih tidak dapat membantu pihak polis mengesan punca kecederaan terbabit.

“Teori kebarangka­lian hanya dapat dibuat selepas melawat lokasi kejadian,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir di IJN, pada 17 Disember lalu.

Prosiding bersambung Isnin depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia