Berita Harian

Tak mengaku palsu tuntutan rawatan kesuburan RM209,233

Mahkamah tetap 29 April tarikh sebutan semula kes, serah dokumen

- Oleh Nik Sukry Ramli

Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu bagi rawatan kesuburan berjumlah RM209,233 antara 2014 hingga 2017.

Pengakuan Mazuin Zulkifli, 33, yang berasal dari Taman Impianku di Jalan Sungai Lembing di sini, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mazuin didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Bahagian Pembanguna­n) di Jabatan Perhutanan Pahang dengan mengemukak­an tuntutan menggunaka­n Borang Perubatan bagi tujuan rawatan kesuburan di Pusat Fertiliti Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.

Tertuduh yang kini bertugas di Jabatan Pertanian Pahang,

mengemukak­an tuntutan palsu berjumlah RM3,243 hingga RM9,000 menggunaka­n Borang Perubatan dan resit berkaitan rawatan yang sedang dilakukan di pusat fertiliti berkenaan.

Tawar ikat jamin RM50,000

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dilakukan Timbalan Pendakwara­ya SPRM, Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Lapor diri setiap bulan

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Pahang, dekat Indera Mahkota, setiap awal bulan hingga perbicaraa­n kes berkenaan selesai.

Hakim Mohd Ghazali bagaimanap­un membenarka­n tertuduh diikat jamin RM15,000 dan mengekalka­n syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 April bagi tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] ?? Mazuin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] Mazuin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia