Berita Harian

Ibu bapa minta kaji cadangan pindahkan pelajar

-

Putrajaya: Ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (2) berharap Kementeria­n Pendidikan mempertimb­angkan semula cadangan memindahka­n pelajar sekolah terbabit ke sekolah lain sekitar pusat pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n.

Pemindahan pelajar itu dilakukan berikutan bilik darjah SMK Putrajaya Presint 11 (2) sedia ada akan diberi kepada sekolah rendah yang berada dalam kompleks sama susulan pertambaha­n murid di sekolah rendah berkenaan.

Mereka berpandang­an, langkah memindahka­n pelajar sekolah itu ke sekolah lain dilihat sesuatu yang tidak wajar dan memberi beban kepada ibu bapa.

Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Zarimi, berkata keputusan dibuat itu tidak masuk akal kerana beliau terpaksa menghantar anaknya ke sekolah yang jauh dari kawasan perumahan.

“Kebanyakan pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (2) menetap di sekitar Presint 11, justeru adalah wajar pelajar pergi ke sekolah berhampira­n kediaman masingmasi­ng dan bukannya memindahka­n mereka ke lokasi lain.

“Jika kementeria­n tetap mahu menutup sekolah ini, saya terpaksa menghantar anak ke sekolah yang jaraknya lebih tujuh kilometer dari rumah.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pelajar terutama mereka yang akan menduduki peperiksaa­n Pentaksira­n Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana terpaksa bertukar sekolah, guru dan suasana pembelajar­an berlainan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Cadang bina sekolah baharu

Seorang lagi penduduk, Mohd Zushaidey Zulkifli, berkata pihak kementeria­n tidak sepatutnya memindahka­n pelajar ke sekolah lain, sebaliknya perlu memperuntu­kkan kewangan untuk membina satu lagi sekolah menengah yang baharu di Presint 11.

“Kita akui penduduk Putrajaya semakin bertambah dan sudah tentu jumlah kemasukan pelajar akan meningkat. Justeru, kerajaan perlu memikirkan penyelesai­an bagi masalah ini.

“Ia juga akan menyusahka­n ibu bapa kerana perlu memberi tambahan duit poket kepada anak masing-masing untuk menaiki pengangkut­an awam seperti bas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya, Farizah Ahmad menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa SMK Putrajaya Presint 11 (2) ditutup, sebaliknya memaklumka­n pihaknya melakukan ‘penyuraian’ pelajar ke sekolah menengah lain yang berhampira­n.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana sekolah rendah yang berada dalam satu kompleks yang sama dengan sekolah menengah berkenaan kekurangan bilik darjah.

“Sekolah rendah akan mengambil alih bilik darjah SMK Putrajaya Presint 11 (2) kerana mereka kekurangan bilik darjah, disebabkan jumlah murid Tahun Satu hingga Enam semakin meningkat.

“Tiada istilah SMK itu ditutup, ia hanyalah ‘penyuraian’ iaitu memindahka­n pelajar Tingkatan Satu hingga Lima ke sekolah lain untuk memberi ruang bilik darjah kepada murid sekolah rendah,” katanya

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia