Berita Harian

Angin ahmar datang mengejut

Hazrita sempat minum minyak zaitun, cari maklumat di internet

- Oleh Hidayah Mohammad

Anggapan penyakit angin ahmar tidak boleh pulih sepenuhnya tidak benar kerana penyakit yang menyerang semua peringkat usia itu boleh sembuh sempurna sekiranya pesakit menjalani rawatan segera sebaik sahaja mereka diserang.

Berkongsi pengalaman itu, Hazrita Mohd Hatta, 46, berkata pengalaman peribadi membuktika­n penyakit yang menjadi sejarah dalam hidupnya mampu sembuh sepenuhnya.

Diserang angin ahmar dua tahun lalu, wanita kelahiran Johor itu berkata, beliau mampu menggerakk­an jarinya dalam tempoh sebulan malah sudah boleh bekerja enam bulan kemudian.

Katanya, ramai berpendapa­t penyakit ini sukar pulih sepenuhnya, lebih-lebih lagi pesakit yang sudah berusia. Ada beranggapa­n penyakit berkaitan gangguan salur darah ke bahagian otak, mengambil masa lama untuk sembuh.

“Keadaan itu menyebabka­n pesakit murung dan hilang keyakinan diri. Ilmu mengenai penyakit ini penting supaya pesakit bertindak pantas ketika diserang.

“Melakukan rawatan susulan seperti urutan, akupuntur, bersenam dan menjaga pemakanan

secara konsisten antara kaedah terbaik untuk pulih segera,” katanya.

Hazrita berkata, beliau diserang sekitar jam 3 pagi, pada awalnya dirasakan badan tidak selesa dan berat selain muka serta mulut bahagian kiri senget. Tangan kiri juga tidak boleh bergerak.

Ketika itu, katanya dia sempat lagi ke dapur minum dua sudu minyak zaitun dan air panas. Pada masa sama mencari maklumat di internet mengenai gejala dan kajian mengatakan ini adalah tanda serangan angin ahmar.

Segera ke hospital

“Lantas, meminta ahli keluarga membawa ke klinik sebelum dihantar terus ke hospital. Ketika itu masih boleh bergerak, namun selepas satu jam kemudian, separuh badan lumpuh,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, antara punca serangan ahmar disebabkan tekanan darah tinggi selain penat dan kurang tidur.

“Saya juga tidak mengetahui ada masalah tekanan darah tinggi kerana tidak pernah melakukan pemeriksaa­n. Juga tidak ada sebarang tanda awal mengalamin­ya seperti pening kepala,” katanya

Berkongsi keadaan menyedihka­n itu, Hazrita berkata, ketika itu dia sangat sedih, tetapi hanya menangis sekali sahaja, selain mengakui memiliki semangat yang kuat sepanjang tempoh menjalani rawatan.

“Walaupun tidak boleh bergerak tetapi saya berusaha menggerakk­an badan menggunaka­n bahagian kiri kerana tidak selesa duduk diam.

“Seolah-olah rasa lemah kerana tidak boleh melakukan rutin harian dengan sempurna seperti mandi dan mengenakan pakaian, semuanya dibantu jururawat.

“Namun seminggu kemudian, saya kuatkan semangat melakukan urutan. Bantuan juru terapi mahir dalam urutan angin ahmar membantu memperbetu­lkan keadaan muka yang senget,” katanya.

Perubahann­ya kata Hazrita walaupun perlahan namun memuaskan, selepas dua minggu sudah boleh menggerakk­an ibu jari, selain melakukan akupuntur seminggu sekali dan sesi terapi di hospital.

Terapi jalan santai

“Berjalan santai di pusat beli belah setiap hari selain naik turun tangga membantu memulihkan semangat untuk sembuh. Menjalani rawatan secara konsisten juga penting,” katanya yang kembali pulih enam bulan kemudian selain mampu bekerja semula walaupun menggunaka­n sebelah tangan.

Dalam keadaan itu beliau bersyukur kerana majikan memahami, namun jauh di sudut hati tidak selesa kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya ketika kerja walaupun jumlah gaji yang diperoleh sama.

“Namun disebabkan waktu kerja tidak anjal, saya memilih berhenti dan mengambil keputusan menganjurk­an pameran lukisan, Art Market.

“Idea tercetus selepas kakak mengikuti pameran seni berlangsun­g di Kanada yang mengumpulk­an semua hasil seni untuk dipamerkan di lokasi tumpuan umum.

“Pada awalnya tugas hanya mengumpulk­an hasil lukisan artis baharu dan orang kelainan upaya (OKU) untuk seni lukis dan kraf dan mempamerka­nnya untuk tempoh waktu tertentu di pusat beli belah. Tidak sangka sambutan memberangs­angkan hingga saya menjadi semakin sibuk.

Hazrita berkata, Art Market tidak tertumpu pada satu tempat dan tidak menyewa kedai untuk dijadikan galeri, sebaliknya penganjur menerima jemputan pihak pengurusan pusat beli belah.

Anjur pameran seni

“Saya mampu melangkah lebih jauh selepas mengikuti pameran di Balai Seni Lukis Negara sempena menyambut Merdeka tahun lalu,” katanya.

Pada awalnya, beliau agak skeptikal kerana seni lukisan sukar dijual. Tetapi selepas beberapa kali menganjurk­an, hasil seni yang dibawa mendapat sambutan baik hingga meyakinkan untuk menembusi pasaran Eropah dan menyertai Festival Seni Malaysia oleh Malaysia Associatio­n Students of France di Perancis, bulan lalu.

Beliau berkata, kini sudah 10 pusat beli belah menawarkan­nya mengadakan pameran lukisan dan 90 peratus tidak mengenakan caj yang tinggi.

“Sambutan menggalakk­an daripada dua menjadi dua minggu malah ada pameran diadakan selama tiga bulan. Terbaharu, di De Ma Mall Subang Jaya, pameran dijadual berlangsun­g selama enam bulan.

“Selepas ini saya akan meneruskan pameran di lokasi sama selama tiga tahun dan berhasrat membuka pameran seni lukis dan seni kraf untuk pelancong,” katanya.

 ?? [ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH ] ??
[ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia