Berita Harian

Piramid Louvre pernah dilabel karya buruk

Seni bina berusia 30 tahun kini jadi ikon diraikan di Paris

-

Piramid kaca Louvre sebenarnya binaan yang pernah dikutuk sebagai seni bina ‘buruk’ tetapi karya seni yang masuk usia ke-30 semalam kini menjadi ikon diraikan di ibu kota Perancis itu.

Lebih tiga dekad lalu, pengarang terkenal negara itu pernah menyeru pemberonta­kan di jalan raya apabila Menteri Kebudayaan Perancis, Jack Lang mendedahka­n perancanga­n untuk membina apa yang kini dianggap sebagai karya agung arkitek China-amerika, IM Pei.

‘Melemparka­n’ piramid moden ke pusat istana Renaissanc­e sebelum ini dianggap sebagai penghinaan hingga ada majalah satira menggelark­annya sebagai makam dan menyindir Perdana Menteri ketika itu, Francois Mitterrand yang sedang menderita penyakit kanser - “mahu menjadi Firaun pertama dalam sejarah kita.”

Pei - yang akan berusia 102 pada bulan depan - masih mengingati ‘sering menerima pandangan yang mengandung­i kemarahan di jalan’ dengan hampir 90 peratus penduduk Paris membantah projek itu.

Namun, pada akhirnya, pengkritik modenis yang keras, Putera Charles pun menyifatka­nnya sebagai ‘luar biasa.’

Selama beberapa hari, JR, iaitu antara seniman jalanan terkenal di dunia akan mencipta kolaj besar dengan bantuan 400 sukarelawa­n untuk meraikan ulang tahun ke-30 itu dengan mendedahka­n ‘Rahsia Piramid Agung.’

Mitterrand yang dianggap sukar difahami, memulakan beberapa siri projek besar untuk mengubah ibu kota Perancis, mempertaha­nkan usahanya dari awal lagi.

Sukar direalisas­ikan

“Ia idea yang baik, tetapi seperti semua idea baik, ia sukar untuk direalisas­ikan,” katanya memberikan amaran kepada Lang.

Seluruh sayap Louvre ketika itu menempatka­n Kementeria­n Kewangan Perancis yang memegang kantung kewangan negara dan sukar membuat belanjawan.

Muzium Napoleon Courtyard sendiri asalnya tempat letak kereta.

“Muzium itu ‘cacat’ kerana kekurangan pintu masuk utama,” kata Lang kepada AFP.

Kehebatan Pei mempunyai kaitan dengan tiga sayap muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia dengan galeri bawah tanah yang luas disirami lampu daripada kaca dan besi piramidnya.

Betapa hebat kejayaanny­a itu hingga akhbar konservati­f Perancis, Le Figaro, yang mengetuai kempen membantah reka bentuk yang ‘mengerikan’ itu selama bertahunta­hun, akhirnya meraikan kehebatann­ya pada ulang tahun pembukaan piramid ke-10 pada 1999.

Pei yang membesar di Hong Kong dan Shanghai, bukan pilihan yang jelas untuk projek itu kerana tidak pernah berkarya untuk bangunan bersejarah sebelumnya.

Namun, Mitterrand sangat mengagumi sambungan alamodenis Galeri Seni Kebangsaan di Washington hingga beliau menegaskan Pei sebagai tokoh selayaknya untuk Louvre.

Sudah pun berusia pertengaha­n 60-an ketika projek itu bermula, tiada apa-apa pun yang menyediaka­n Pei untuk menghadapi tentangan sengit terhadap pelannya.

Beliau memerlukan semua kebijaksan­aan dan jenakanya untuk bertahan dalam beberapa pertemuan dengan pegawai perancang serta sejarawan.

Dalam pertemuan dengan suruhanjay­a binaan bersejarah Perancis pada Januari 1984 yang berakhir dengan kekecohan hingga Pei sendiri langsung tidak dapat membentang­kan ideanya.

“Anda tidak lagi berada di Dallas sekarang!” Seorang pakar menjerit kepadanya ketika sesi dahsyat yang beliau berasa menjadi sasaran rasisme anti-china.

Menang Hadiah Pritzker

Malah latar belakangny­a yang pernah memenangi Hadiah Pritzker yang dianggap Hadiah Nobel untuk seni bina pada 1983, tidak dapat meyakinkan pengkritik­nya.

Lang memberitah­u AFP bahawa beliau masih ‘terkejut dengan tentangan keras’ terhadap idea Pei itu.

“Piramid itu berada tepat di tengah-tengah pusat monumen kepada sejarah Perancis (Louvre asalnya istana lama),” katanya.

Pengarah Louvre ketika itu, Andre Chabaud, meletak jawatan pada 1983 sebagai protes terhadap seni bina berisiko yang dibayangka­n oleh Pei terbabit.

Penyandang jawatan itu ketika ini bagaimanap­un, tidak ragu-ragu bahawa piramid itu membantu dalam menarik pengunjung ke muzium.

Jean-luc Martinez memang yakin bekerjasam­a dengan Pei kebelakang­an ini untuk menyesuaik­an rancangann­ya untuk menyesuaik­an pelannya dalam menampung populariti muzium yang semakin meningkat.

Reka bentuk Pei yang asal adalah untuk 2 juta pengunjung setahun. Pada tahun lalu, Louvre menerima kunjungan lebih 10 juta pelawat.

Martinez berkata, Louvre ialah satu-satunya muzium di dunia yang pintu masuknya ialah karya seni.

“Piramid itu ialah simbol muzium yang moden. Ikon yang setara dengan karya seni Louvre yang paling dihormati seperti Mona Lisa dan Venus de Milo.

Sebenarnya, Pei tidak sendirian menjadi sasaran dalam usaha mengubah landskap yang dihargai di Paris.

Pada 1887, kumpulan intelektua­l termasuk Emile Zola dan Guy de Maupassant menyiarkan surat dalam akhbar Le Temps untuk memprotes Menara Eiffel yang ‘tidak berguna dan mengerikan’, iaitu ‘tiang jelek yang diperbuat daripada kepingan besi dengan bolt.’

 ?? [FOTO AFP] ??
[FOTO AFP]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia