Berita Harian

Menteri Besar Johor sah letak jawatan

Dua surat diserahkan kepada Perdana Menteri kelmarin di Putrajaya

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Datuk Osman Sapian sudah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor, berkuat kuasa kelmarin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Osman menyerahka­n dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, kelmarin, dengan satu daripadany­a

akan diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Menteri Besar Johor sudah meletak jawatan semalam (kelmarin), dengan surat diserahkan kepada saya dan surat itu juga akan dihantar kepada Sultan Johor.

Belum ada pengganti

“Kita belum menentukan siapakah penggantin­ya, tetapi mengikut perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH), Menteri Besar Johor hendaklah daripada wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Buat sementara waktu, Johor tidak ada Menteri Besar. Kita (mungkin) akan lantik pemangku,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Desas-desus mengenai peletakan jawatan Osman selaku Menteri Besar Johor bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dan ia semakin menjadi tanda tanya, apabila Pengerusi PH merangkap Pengerusi BERSATU Johor itu bertemu Dr Mahathir di Putrajaya, kelmarin.

Pertemuan antara Osman dan Dr Mahathir difahamkan berlangsun­g selama kira-kira 30 minit, mulai jam 5.45 petang.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, seramai tiga hingga empat calon sedang dipertimba­ngkan untuk menggantik­an Osman dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Enggan dedah alasan

Ditanya alasan diberikan Osman berhubung peletakan jawatannya, Perdana Menteri berkata, beliau belum mahu mendedahka­nnya.

“Ada alasan yang diberikan, kami akan beritahu kemudian. Dia mahu meletakkan jawatan dan kami menerimany­a,” katanya.

Ditanya sama ada Osman turut bertemu Sultan Ibrahim kelmarin, Dr Mahathir secara berseloroh berkata, beliau hanya bertemu ‘Duli Yang Maha Mulia (DYMM)’ Mahathir Mohamad dengan dua surat.

“Dia (Osman) menghadap DYMM Mahathir Mohamad dengan dua surat. Satu surat kepada saya menyatakan peletakan jawatannya dan satu lagi surat untuk Sultan Johor dan saya berhak membacanya,” katanya.

 ?? [ FOTO BERNAMA ] ??
[ FOTO BERNAMA ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia