Berita Harian

Kegilaan budaya tular tuntut kewarasan

-

Penulis santai di Pantai Irama ketika tular di media sosial isu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) cawangan Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai. Premis Tabung Haji berada di pesisir pantai tak jauh tempat jual nasi berlauk dan nasi kerabu yang terkenal sedap di pinggir Laut China Selatan itu.

Suasana cawangan Tabung Haji seperti hari-hari yang lain. Pendeposit keluar masuk. Di kaki lima pula seperti biasa riuh dengan orang ramai berjualan atau membeli keperluan harian di beberapa kedai berdekatan.

Tidak ada suasana panik, apatah lagi sehingga darurat kerana kononnya orang ramai tak yakin lagi dengan operasi agensi yang gah seantaro negara Islam. Penulis setuju dengan reaksi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat bahawa laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluara­n wang tunai luar biasa dilaporkan.

Seorang wanita dalam laman Facebookny­a (FB) mendakwa Tabung Haji cawangan Bachok kehabisan wang tunai dan orang ramai

penuh sesak membuat pengeluara­n deposit. "Tiada pengeluara­n panik dilaporkan di semua cawangan dan keadaan adalah seperti biasa," kata Zukri kepada BERNAMA, Ahad lalu.

Hari ini media sosial dan digital hampir menguasai semua sektor komunikasi. Selepas runtuh Tembok Berlin dan pasca Perang Teluk, budaya baharu sedang melanda dunia ketika kini. Kesan baik atau buruknya media sosial bergantung kepada siapa yang menularkan sesuatu isu dan siapa pula yang menerima viral secara bertanggun­gjawab.

Media sosial adalah budaya baharu yang kesannya boleh dipertikai­kan. Sesuatu isu yang tersebar memerlukan semak imbang yang waras. Hari ini segala-galanya mahu pantas selaras kemajuan teknologi komunikasi. Berita yang tular tanpa nawaitu kebenaran akan membawa kesan negatif.

Tular tak semestinya benar kerana sering dikaitkan dengan niat tersembuny­i sesuatu berita tersebar. Kebenaran bukan lagi ditentukan oleh fikiran waras, tapi berlandask­an apa yang dikatakan tular di media sosial.

Pengaruhi secara spontan

Viral atau tular menjadi budaya yang menentukan sesuatu isu diketahui ramai, sama ada dalam suasana positif atau negatif. Budaya bentuk baharu ini juga yang boleh mempengaru­hi fikiran dan perasaan massa secara spontan.

Banyak kerajaan yang tumbang kerana tular buruk pentadbira­n mereka. Banyak korporat yang merudum kerana tular pengurusan diskrimina­si hak kaum dan jantina. Di Malaysia, tular artis yang dulu bertudung kini dedah kepala pun jadi isu besar, seolaholah kehidupan bernegara ditentukan oleh anak seni, sedangkan aspek sosial, pendidikan dan tadbir urus terbaik adalah kehendak awam paling penting.

Jika dahulu media tradisiona­l seperti akhbar, majalah, televisyen dan radio membudayak­an masyarakat, hari ini ejen budaya itu turut digerakkan oleh Facebook, Twitter, Whatsapp dan pelbagai lagi yang lebih pantas dan ada masanya tak bertanggun­gjawab dan kejam.

Tular Tabung Haji hampir muflis adalah di antara sekian banyak kesan budaya baharu yang sedang berlegar ketika ini. Budaya ini tidak boleh dibanteras menerusi undang-undang selagi sebahagian besar ahli sosial masih pasif maklumat dan menerima viral tanpa pertimbang­an waras.

Hari ini jumlah pengguna internet menunjukka­n peningkata­n kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia. Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunaka­n perkhidmat­an media sosial dan memperuntu­kkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.

Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarka­n Hootsuit dan We Are Social. Laporan berkenaan turut mendedahka­n jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding 2017, menjadikan Malaysia sebagai negara kesembilan dunia paling aktif di laman sosial.

Malaysia juga berada di tangga kelima dunia dari segi penggunaan e-dagang terbanyak, dengan 40 peratus penduduk pernah mengadakan transaksi atas talian. Konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan sudah menjadi budaya sejagat yang tidak boleh dipinggirk­an.

Secara keseluruha­nnya, pengguna internet sudah mencecah lebih empat bilion di seluruh dunia, peningkata­n kepada tujuh peratus sejak 12 bulan lalu, mewakili 53 peratus daripada populasi dunia. Penggunaan sosial media secara global pula mencecah 3.196 bilion pengguna, meningkat 13 peratus sejak 12 bulan.

Pengguna media sosial secara mudah alih pula meningkat 14 peratus berbanding 2017 kepada 2.958 bilion pengguna dengan 93 peratus mengakses media sosial melalui telefon pintar. Budaya baharu ini sedang menular dan kita perlu mewaraskan minda agar tidak mudah terperangk­ap.

Cerita Tabung Haji muflis adalah sebahagian daripada dongeng maklumat satira siasah yang digerakkan oleh mereka yang kurang berfikir.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia