Berita Harian

Kamarudin bayar SC RM3.6J isu saham MAS

-

Datuk Kamarudin Meranun membayar lebih RM3.6 juta sebagai penyelesai­an dengan Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC) berhubung tindakanny­a mengambil alih 5.66 juta saham Malaysia Airlines Bhd (MAS) pada tarikh antara 1 hingga 5 Ogos 2011.

SC dalam kenyataan dimuat naik dalam laman web rasminya berkata, Kamarudin mencapai persetujua­n penyelesai­an pada 2 April lalu tanpa mengakui atau menafikan liabiliti, untuk menyelesai­kan tuntutan dicadangka­n SC berhubung isu terbabit.

Pengawal selia itu berkata, semua saham terbabit diambil alih daripada akaun milik Nor Ashikin Khamis dan Malizan Mahmood sedangkan pemilikan maklumat dalaman seperti itu secara jelas bertentang­an dengan Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmat­an 2007 (CMSA).

Bersetuju tanpa akui liabiliti

Sementara itu, katanya, pada 9 April lalu, Abdul Radzim Abdul Rahman, dan Mohamed Radzif Mohamed Shamsudin turut mencapai penyelesai­an dengan SC apabila masing-masing membayar RM750,000 setiap orang.

“Kedua-duanya bersetuju tanpa mengakui atau menafikan liabiliti bagi membayar penalti sivil dicadangka­n SC terhadap mereka berhubung pengambila­lihan 3.16 juta saham MAS menerusi akaun Nor Ashikin Khamis dan 2.5 juta saham MAS menerusi akaun Malizan Mahmood.

“Kedua-dua pengambila­lihan berlaku antara 1 Ogos 2011 dan 5 Ogos 2011 sedangkan pemilikan maklumat dalaman seperti itu secara jelas bertentang­an dengan Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmat­an 2007 (CMSA),” katanya.

Menurut SC, persetujua­n penyelesai­an itu dicapai selepas pengawal selia pasaran berkenaan menghantar surat tuntutan melaksanak­an kuasa penguatkua­saan sivil di bawah bidang kuasa SC.

“Jumlah yang pembayaran Kamarudin adalah bersamaan tiga kali perbezaan harga saham ketika diambil alih, sekiranya maklumat itu tersedia secara umumnya.

“Hasil bayaran yang diperoleh akan disalurkan mengikut Seksyen 201(7) CMSA,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia