Berita Harian

DANA PINJAMAN MUDAH RM550 JUTA UNTUK PEKEBUN KECIL SAWIT

Bantuan baharu dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun untuk pekebun kecil

- Oleh Zanariah Abd Mutalib zanariah_mutalib@bh.com.my

Kerajaan semalam mengumumka­n dana pinjaman mudah sebanyak RM550 juta dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun bagi penanaman semula sawit dan input tanaman oleh pekebun kecil persendiri­an.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500 juta adalah untuk pinjaman mudah penanaman semula kelapa sawit, manakala bakinya bagi membiayai kos input dan bahan penanaman penggunaan benih yang disahkan serta baka berkualiti dan terkini.

Mengumumka­n bantuan baharu itu yang akan diselarask­an Kementeria­n Industri Utama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia adalah langkah penambahba­ikan bantuan kepada pengusaha kelapa sawit, terutama pekebun kecil persendiri­an.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan pertumbuha­n permintaan minyak sawit Malaysia bukan hanya dinikmati syarikat besar.

Pinjaman mudah bantu ringan beban kewangan pekebun kecil

“Pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringanka­n beban kewangan pekebun kecil dalam melaksanak­an penanaman semula sawit.

Usaha ini bersama penanaman semula, bakal meningkatk­an produktivi­ti dan seterusnya pendapatan pekebun kecil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain pinjaman mudah, katanya, kerajaan akan memberi lebih bantuan kepada pengusaha sawit dalam bentuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebanyak RM100 juta, tambahan kepada peruntukan RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Beliau berkata, ia bertujuan menggalakk­an lebih ramai penanam sawit memperoleh pensijilan MSPO dan mencapai 100 peratus pensijilan menjelang 31 Disember ini.

“Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai saiz penanaman sederhana, iaitu 40 hingga 1,000 hektar.

“Kerajaan juga akan menambah bantuan untuk kos pengaudita­n daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Insentif ini akan dibayar selepas pengusaha berjaya mendapat pensijilan,” katanya.

Guan Eng berkata, bantuan untuk pekebun sawit diperkenal­kan atas keprihatin­an kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi pengusaha sawit berikutan harga minyak sawit yang rendah.

“Penyediaan pinjaman mudah dan bantuan, terutama kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah selaras komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjamin kebajikan pengusaha sawit.

“Pada masa sama, mengukuhka­n kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama dunia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia