Berita Harian

TH terima deposit baharu hampir RM1 bilion

-

Pasir Mas: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kemasukan deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion, selepas proses pemulihan dan penstruktu­ran semula institusi itu dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata perkembang­an positif itu menunjukka­n keyakinan orang ramai terhadap badan pemegang amanah itu tetap kukuh walaupun menerima pelbagai tohmahan.

“Jumlah pendeposit baharu ini berjaya mengimbang­i deposit keluar dan secara puratanya kewangan TH berjaya dikawal.

Berada pada landasan tepat

“Malah, maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa TH kini berada pada landasan yang tepat dan prestasi kewangan TH akan bertambah baik pada tahun ini,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pondok Raudhatul Ulum, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Mujahid turut menyampaik­an sumbangan daripada Yayasan Taqwa kepada Guru Pondok, Ali Ab Rahman Hassan bagi pembinaan pondok berkenaan yang akan dibina di atas tanah seluas hampir satu hektar, dengan kos keseluruha­n berjumlah RM2 juta.

Mujahid berkata, kerajaan akan terus memastikan TH kekal sebagai pemegang amanah yang dipercayai bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan pencarum di negara ini.

“Saya yakin bila kita telus keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH akan bertambah kukuh. Kita mahu pencarum mendapat gambaran yang jelas dan menerima faedah dengan cara yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menanggung subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM400 juta bagi menampung kos keseluruha­n sebenar bernilai RM12,400 bagi setiap jemaah.

Katanya, kerajaan juga akan memikirkan kaedah tertentu bagi mengekalka­n kos perbelanja­an mengerjaka­n haji sedia ada, walaupun kos sebenar sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

“Kerajaan PH komited memulihkan TH termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri Majlis Jamuan Mesra Rakyat bersama warga Pondok Tahfiz Padang Bongor Kampung Belimbing, di sini, Mujahid berkata, kerajaan tidak mahu pelajar yang tamat pengajian di institusi berkenaan tidak dapat menyesuaik­an diri dengan arus perdana.

“Kita tidak mahu institusi pondok hanya fokus ilmu agama, sebaliknya dibekalkan ilmu kemahiran sebagaiman­a yang ada di pusat tahfiz sekarang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia