Berita Harian

Calon orang muda lebih bertenaga, dekat dengan rakyat

-

Sandakan: Pemilihan Vivian Wong Shir Yee mewakili orang muda, berpendidi­kan dan bertenaga sebagai calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk lebih dekat dengan golongan itu dan rakyat akar umbi.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata itu antara keistimewa­an Vivian, 30, dan ia menyangkal tanggapan pembangkan­g yang mengatakan calon DAP tidak layak kerana tiada pengalaman.

Beliau berkata, pengundi di Parlimen Sandakan perlu memberi sokongan kepada calon DAP kerana sebagai orang muda yang bertenaga, Vivian lebih berupaya membantu rakyat dan memastikan segala keperluan dapat dipenuhi kerajaan.

Katanya, Vivian turut mendapat sokongan daripada lima parti iaitu WARISAN, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Ada parti yang cakap mereka dapat sokongan daripada lima parti, tetapi mereka lupa bahawa DAP juga mendapat sokongan daripada lima parti.

“Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah berada dalam kerajaan dulu, cuba untuk memerintah sendiri, namun gagal. Sekarang, kita ada calon muka baharu dan bila saya lihat dia (Vivian) berucap, dia lebih baik daripada mereka yang berpengala­man,” katanya selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di sini, semalam.

PRK Parlimen Sandakan menyaksika­n pertembung­an lima penjuru antara Vivian daripada DAP; Naib Presiden PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Wakili suara pembangkan­g

Sementara itu, ketika ditemui, Thau Lin berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk memenangi kerusi Parlimen Sandakan dengan menggunaka­n bendera PBS dan berharap pengundi akan menyokong parti itu.

“Jika saya dipilih menjadi Ahli Parlimen, saya boleh mewakili suara daripada pembangkan­g dalam kawasan ini. Saya akan melihat kepada pelbagai isu yang dihadapi rakyat,” katanya.

Sementara itu, calon Bebas, Sulaiman berkata, dia menghormat­i mendiang Tien Fatt, namun mengambil keputusan untuk bertanding kerana mengetahui masalah penduduk setempat.

Katanya, penyertaan­nya dalam PRK itu akan memberi pilihan kepada rakyat dan mahu memberi tumpuan bukan sahaja terhadap aspek ekonomi, malah menangani isu perumahan serta kemudahan awam di kawasan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia