Berita Harian

Empat peserta berbasikal cedera

-

Kuala Nerus: Empat peserta acara berbasikal cedera selepas pacuan empat roda Triton yang dinaiki bertembung dengan Perodua Axia di Kilometer 24 Kuala Terengganu Besut, berhampira­n Sungai Lekar, di sini, pagi semalam.

Presiden Putera Jaya Cycling Team (PJCT), Zokri Othman, berkata kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan menyertai Fun Ride Gohek Basikal KUD Zon Timur 2019 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, pada jam 7.30 pagi.

Katanya, dia yang memandu Triton membawa tiga lagi peserta lingkungan umur 27 hingga 56 tahun bersama basikal dari Setiu ke Gong Badak bagi memenuhi jemputan mewakili Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Terengganu dalam pertanding­an itu bermula jam 8 pagi.

“Ketika sampai ke lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah Kuala Terengganu terbabas masuk ke laluan bertentang­an dan saya tidak sempat mengelak.

Keluar ikut tingkap pecah

“Triton terbalik menyebabka­n kami berempat terperangk­ap dalam kenderaan. Nasib baik saya boleh keluar melalui tingkap pecah dan membantu dua lagi rakan keluar.

“Seorang lagi rakan, Baharuddin Abd Rahman, 56, tersepit di tempat duduk belakang dan mengalami sesak nafas. Kami semua dikejarkan ke Hospital Daerah Setiu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zokri berkata, mereka yang terbabit dalam kemalangan itu menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

“Sepanjang hampir dua tahun penubuhan pasukan, ini kali pertama kami kemalangan jalan raya.

“Mungkin ada yang salah faham melihat gambar tersebar di laman sosial Facebook menyangka peserta bertembung dengan Triton ketika mengayuh basikal, tetapi sebenarnya kami semua dalam kenderaan ketika kemalangan berlaku, ” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia