Berita Harian

Bibi letak syarat sebelum lepas jawatan presiden

-

Kota Bharu: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menegaskan tidak perlu ahli gabungan badan induk itu mengadakan kongres luar biasa (EGM) untuk menyingkir­kannya.

Sebaliknya, beliau sedia melepaskan jawatannya dengan syarat pihak yang membuat desakan itu membawa pengganti bertemu dengannya bagi memastikan pengurusan badan induk itu berjalan lancar.

“Apa yang dilakukan tiga atau empat orang yang menggantun­g kain rentang dan poster tidak membantu menjernihk­an keadaan pasukan. Malah saya rasa jika saya lepas jawatan ini, pengurusan pasukan akan lebih kucar-kacir.

“Cuba bayangkan jika saya lepas jawatan hari ini dan dalam masa sama empat pasukan The Red Warriors, The President Warriors, The Young Warriors dan pasukan bola sepak wanita Kelantan masih memerlukan seseorang menerajui KAFA. Jadi, siapa yang akan bertanggun­gjawab dan mahu menyediaka­n dana?

“Justeru jika ada yang mahu ganti tempat saya, dia tak perlu desak Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk buat EGM kerana ia akan mengambil masa lama, sebaliknya terus datang berjumpa dengan saya dan saya sedia lepaskan jawatan,” katanya semalam.

Cucuk jarum

Kelmarin, akhbar melaporkan penyokong Kelantan semakin hilang sabar dengan pengurusan KAFA apabila wujud kumpulan penyokong yang menaikkan kain rentang serta poster, memaksa beberapa individu dalam badan induk itu mengundur diri.

Tinjauan mendapati kain rentang dan poster terbabit dinaikkan di sekitar bandar Kota Bharu, Pasir Mas dan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mengulas lanjut, Bibi turut mendedahka­n wujud anasir negatif yang cuba ‘mencucuk jarum’ pada saat pasukan itu kini dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, dia sedia membuka pintu kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat secara menyeluruh badan induk itu termasuk pemain dan pegawai pasukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia