Berita Harian

PENUNGGANG SUPERBIKE MAUT DISERET LORI 13 KILOMETER

Penunggang motosikal diseret oleh kenderaan berat sejauh 13km

- Oleh Muhammad Apendy Issahak

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dipercayai diseret kenderaan berat sejauh kira-kira 13 kilometer (KM) dalam kemalangan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampira­n Terowong Menora, di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi dan pihak PLUS menemui motosikal Kawasaki

Z800 bersama kaki kiri mangsa di kawasan berkenaan, sebelum menemui mayat Mohamad Haris Mohamad Fuad, 23, di Kilometer 260 iaitu hampir 13km dari lokasi mangsa dipercayai mula diseret .

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 6.45 pagi dan siasatan awal polis mendapati mangsa menunggang sendirian dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju rumah keluargany­a di Pulau Pinang.

Meninggal di lokasi

Beliau berkata, mangsa dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum digilis kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis dan terseret sejauh beberapa kilometer.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Polis masih menjalanka­n siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 dan mengesan kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa, Nur Fatin Nabillah, 25, berkata adik bongsu daripada empat beradik itu bekerja sebagai penyelia di tapak projek Sistem Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara.

Tunggu adik tak sampai

“Adik sudah lebih dua tahun bekerja dan sering pulang ke rumah keluarga di Taman Desa Jawi, Pulau Pinang. Awal pagi semalam (kelmarin) dia ada memberitah­u saya ingin pulang selepas habis bekerja.

“Dari malam tadi (kelmarin) kami tunggu dia tidak sampai, sebelum pagi ini (semalam) ayah dimaklumka­n oleh polis mengenai kemalangan berlaku,” katanya ketika ditemui di HRPB di sini, semalam.

Beliau berkata, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung mereka di Batu 5 Jalan Baharu, Parit Buntar, dekat sini, untuk dikebumika­n.

 ??  ??
 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ??
[FOTO IHSAN PEMBACA]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia