Berita Harian

Perbelanja­an tanpa ketirisan

Kerajaan PH pastikan hasil setiap ringgit diguna dapat dilihat rakyat

- Oleh Poliana Ronnie Sidom dan Avila Geraldine

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan bersih yang akan memastikan setiap ringgit dibelanjak­an dapat dilihat hasilnya oleh rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata penggunaan kewangan negara akan dipastikan tanpa ketirisan, penyelewen­gan, salah laku serta amalan rasuah dan rakyat akan dapat melihat perbezaan pembanguna­n yang dibuat dengan bersih untuk kesejahter­aan mereka.

“Kita harap rakyat akan menikmati perubahan ketara ini, iaitu pembanguna­n yang bersih,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Pasar Umum, di sini, semalam.

Mengenai pembanguna­n di Sandakan, Guan Eng berkata, hanya selepas peralihan kerajaan, pembanguna­n di bandar ini dapat dilaksanak­an berbanding pentadbira­n terdahulu, malah Kerajaan Persekutua­n sudah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, membaiki lif Hospital Duchess of Kent serta menaik taraf blok hospital itu.

Beliau turut menafikan pemilihan Vivian adalah kerana populariti mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang memenangi kerusi berkenaan

pada pilihan raya lalu, sebaliknya ia kesinambun­gan dan warisan perjuangan mendiang bapa calon itu yang perlu diteruskan.

“Dia juga tidak asing bagi pengundi di Parlimen Sandakan. Apa salahnya kita memilih seorang aktivis yang dekat dengan rakyat dan secara kebetulan adalah anak perempuan mendiang. Sekiranya kita hendak meneruskan kesinambun­gan perkhidmat­an yang baik, saya rasa itu adalah pilihan yang baik,” katanya.

Lagu Ayo Mama jadi tarikan

Sementara itu, lagu berjudul Ayo Mama dinyanyika­n Wanita DAP menjadi tarikan hari pertama kempen Vivian di Pasar Malam Kim Fung, kelmarin.

Lagu berasal dari Indonesia itu yang diubah lirik oleh Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang menarik perhatian pengunjung dan peniaga pasar malam apabila dinyanyika­n sendiri Jannie serta ahli rombongann­ya yang menyertai tinjauan mesra itu.

Ketika ditemui, Jannie yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, berkata lagu itu digubah untuk menarik pengundi dinyanyika­n pada setiap hentian jelajah Wanita DAP Sabah untuk menarik perhatian dan sokongan pengundi.

Dalam tinjauan mesra itu, Vivian meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dengan pengunjung dan peniaga di pasar malam berkenaan.

Ibu turut bantu kempen

Ibu Vivian, Datin Chong Mee Fook turut membantu kempen anaknya itu apabila muncul pada Ceramah Perdana DAP malam kelmarin dengan berpakaian serba hitam kerana masih berkabung.

“Kematian mengejut suami saya pada 28 Mac sememangny­a menyakitka­n. Dia bukan saja meninggalk­an isteri dan anaknya, tetapi kita semua. Dia meninggalk­an impiannya dan ada kerja yang belum siap seperti melawat rumah warga tua di Kinarut (daerah Papar).

“Saya harus berterima kasih dengan DAP Keningau yang menyedarka­n saya dan anak (Vivian) pada awal April. Mereka kata, ‘Vivian bawa ibu kamu keluar, tiada guna menangis, buat sesuatu’,” katanya sambil menambah, masih banyak kerja belum diselesaik­an mendiang dan Vivian komited untuk meneruskan kerja Tien Fatt.

 ?? [FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN /BH] ?? Guan Eng bersama Vivian (kanan) melakukan tinjauan mesra di Pasar Umum, Sandakan, semalam.
[FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN /BH] Guan Eng bersama Vivian (kanan) melakukan tinjauan mesra di Pasar Umum, Sandakan, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia