Berita Harian

Lelaki ditahan peras peniaga pasar borong

12 peniaga turut ditangkap dalam Ops Cantas

- Oleh Siti Azila Alias

Seorang lelaki berusia 49 tahun dipercayai penjaga tapak gerai haram ditahan menerusi Ops Cantas semalam kerana melakukan pemerasan terhadap peniaga pasar borong sekitar ibu negara, awal malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata operasi bermula jam 7.15 malam itu dijalankan sepasukan anggota dari JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Pasar Borong Selayang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu ada menjalanka­n kegiatan berkenaan dan siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Selain lelaki berkenaan, operasi sama turut menahan 12 peniaga berusia lingkungan 17 hingga 57 tahun termasuk enam rakyat tempatan. Enam lagi adalah warga Bangladesh

dan Myanmar yang memegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ditahan ambil keterangan

Beliau berkata, semua enam rakyat tempatan itu ditahan untuk diambil keterangan, manakala pendatang asing pula akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Pada 8 April lalu, BH menerusi laporan eksklusifn­ya, mendedahka­n kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.

Siasatan wartawan BH ke atas beberapa peniaga asing di pasar borong lama Selayang mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindung­an’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak. Malah, wang perlindung­an yang dikutip setiap hari ada yang mencecah RM200 sehari.

Kadar bayaran ‘wang perlindung­an’ berkenaan ditetapkan bergantung pada kedudukan tapak yang biasanya lebih tinggi jika terletak di laluan utama ke pintu masuk pasar. Kongsi gelap mampu meraih antara RM120,000 hingga RM480,000 sebulan bagi satu pasar borong hasil sewa tapak haram dan kutipan wang perlindung­an.

 ??  ?? Suspek ditahan bersama peniaga dalam serbuan Ops Cantas di Pasar Borong Selayang, kelmarin.
Suspek ditahan bersama peniaga dalam serbuan Ops Cantas di Pasar Borong Selayang, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia