Berita Harian

Pendakwah bebas didakwa hina agama lain direman 4 hari

-

Kuala Lumpur: Seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik, semalam direman empat hari untuk membantu siasatan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan lebih 700 laporan polis yang diterima di seluruh negara terhadap satu klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu.

“Setakat ini, kita menerima 790 laporan polis di seluruh negara berhubung klip video berkenaan yang dimuat naik di laman Youtube oleh pemilik akaun, Info Sunnah Kelantan.

“Sehubungan itu, seorang penceramah ditahan hari ini (semalam) di Arau, Perlis dan suspek direman empat sehingga 1 Mei depan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, siasatan ke atas suspek berusia 34 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu alasan agama, menyebabka­n suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratk­an pemelihara­an keharmonia­n atau perpaduan.

Katanya, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmat­an rangkaian dan lain-lain.

Usah salah guna media sosial

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, polis juga sedang mengesan pemilik akaun Youtube, Info Sunnah Kelantan bagi membantu siasatan.

“Kita menasihatk­an orang ramai agar tidak menyalahgu­nakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk memuat naik atau berkongsi apa juga bentuk provokasi yang membangkit­kan ketegangan kaum,” tegas beliau.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superinten­dan Wari Kiew, memaklumka­n suspek yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran.

Katanya, ketika ditahan lelaki berkenaan baru selesai menghadiri satu program debat atau diskusi agama anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) miliknya di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Suspek yang juga pemimpin pertubuhan berkaitan tabligh dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia