Berita Harian

10 maut banjir di Indonesia

-

Jakarta: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala lapan lagi hilang selepas hujan lebat berhari-hari mencetuska­n banjir dan tanah runtuh di pulau Sumatera, Indonesia, kata pihak berkuasa semalam.

Kira-kira 12,000 penduduk dipindahka­n sementara ratusan bangunan, jambatan dan jalan raya rosak akibat cuaca buruk yang menjejaska­n sembilan daerah atau pekan di seluruh wilayah Bengkulu, kata pihak berkuasa.

Banjir mulai surut di beberapa tempat namun pihak berkuasa memberi amaran, kerosakan lanjut belum diketahui dan sesetengah kawasan masih terputus hubungan.

“Kesan bencana mungkin meningkat. Tanah runtuh dan banjir boleh berlaku jika hujan lebat,” kata jurucakap Agensi Bencana Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, menambah beberapa orang turut cedera akibat banjir.

Beliau menambah, ‘bencana sekunder’ dalam bentuk penyakit kulit dan jangkitan pernafasan akut berikutan keadaan kotor dan ketiadaan air bersih tidak mustahil.

Imej dari udara menunjukka­n sungai melimpah melebihi tebing dan menenggela­mkan penempatan di sesetengah bahagian wilayah itu.

Tampung 13,000 orang

Dapur awam dan pusat pemindahan didirikan untuk menampung kira-kira 13,000 penduduk terjejas akibat banjir sementara pasukan mencari dan menyelamat cuba sampai ke kawasan terjejas dengan bot getah.

“Agihan bantuan dihalang kerana akses jalan raya terputus akibat banjir dan tanah runtuh,” kata Sutopo, menambah jentolak digunakan untuk membersihk­an jalan raya.

Banjir di beberapa bahagian ibu kota ini minggu ini mengorbank­an sekurang-kurangnya dua orang dan memaksa lebih 2,000 berpindah.

Penduduk Bogor, bandar satelit di ibu kota terpaksa menangkap 14 ular sawa yang terlepas daripada hartanah persendiri­an akibat banjir.

Pihak berkuasa berkata, enam daripada ular terbabit sehingga sepanjang empat meter sudah ditemui namun bakinya hilang. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia