Berita Harian

BTS umpan pikat pelancong luar

-

Kecoh laman sembang sejurus Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumka­n hasrat kerajaan membawa kumpulan K-pop terkenal Korea Selatan, BTS, ke negara ini, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Polemik tercetus menyaksika­n pelbagai pihak termasuk artis, penggiat seni, peniaga burger sehingga geng ‘membawang’ di pejabat, mengupas kewajaran kerajaan berbelanja besar membawa BTS menghangat­kan kempen menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancong dunia, tahun depan.

Kekecohan timbul jelas menunjukka­n impak dicetuskan tujuh anak muda ini. Hendak dikatakan tampan atau macho, andai diperhatik­an seorang demi seorang, wajah mereka seiras, malah terlalu ‘comel’ hingga tampak ‘feminin’. Bagi mereka yang tidak menggemari K-pop jauh sekali mengenali nama artis mahupun band berasal dari Korea Selatan yang cukup fenomena, pasti pelik apa sebenarnya tarikan yang ada dalam diri mereka?

Melihat reaksi ramai, tumpuan pasti terarah kepada kenyataan beberapa bintang ‘otai’ yang terang-terangan membantah idea membawa BTS ke Malaysia. Mereka mengkritik keputusan kerajaan

yang didakwa berat sebelah dan tidak adil dalam konteks menjaga kepentinga­n dan kebajikan penggiat seni tempatan.

Antara artis senior yang lantang membantah cadangan itu adalah Datuk Awie, vokalis kumpulan rock terkenal, Wings. Dalam reaksinya, Awie bertanya, apa faedah kerajaan berbelanja besar membawa masuk artis luar yang rata-ratanya tidak difahami apa yang dinyanyika­n mereka? Awie turut membangkit­kan soal relevannya BTS dan kempen TMM 2020, sedangkan artis terbabit bukan rakyat Malaysia.

Awie juga membangkit­kan kewajaran membawa penyanyi dari luar negara sedangkan Malaysia mempunyai ramai artis berbakat yang mampu menarik peminat, selain tebal dengan semangat nasionalis­me ketika beraksi di pentas.

Penyanyi era 1980-an, Francissca Peters pula menganggap langkah membawa BTS suatu penghinaan terhadap artis Malaysia yang dibayar rendah, malah memberi perumpamaa­n penyanyi tempatan persis mesin karaoke berbayar.

Demam K-pop tak pernah kebah

Mengaku sekadar ambil tahu mengenai artis K-pop, penulis pernah menyaksika­n bagaimana hampir 10,000 peminat bagai terkena histeria pada konsert empat gadis yang menggelark­an diri mereka, Blackpink di Stadium Tertutup Malawati di Shah Alam, Februari lalu. Terbukti, demam K-pop yang menular sejak 10 tahun lalu, tidak pernah ‘kebah’ apabila peminat, terutama remaja umpama dirasuk sebaik anggota Blackpink iaitu Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose tampil di pentas.

Bagi yang tidak mengenali siapa BTS dan bagaimana sekumpulan anak muda ini dengan pantas mendominas­i dunia muzik antarabang­sa, semakan di enjin carian Google pasti membuatkan anda menggeleng-gelengkan kepala. Semakin banyak rekod dunia dipecahkan kumpulan anak muda ini termasuk diumumkan sebagai selebriti paling banyak diperkatak­an dalam Twitter bagi 2017 dan 2018.

Tidak cukup dengan itu, majalah Time menyenarai­kan BTS antara 25 individu atau kumpulan berpengaru­h dalam dunia maya pada 2018. BTS kemudian diberi penghormat­an menjadi penghias kulit edisi antarabang­sa majalah berkenaan - sesuatu yang dilihat sukar biarpun tidak mustahil dicapai artis Asia. Terbaharu, Time turut menyenarai­kan BTS sebagai antara 100 personalit­i berpengaru­h di dunia bagi 2019 mewakili kategori insan seni.

Baru-baru ini, BTS memecahkan ‘tabu’ bintang Asia apabila membuat persembaha­n di pentas Billboard Music Awards Ke-26 bersama Halsey mendendang­kan lagu Boy With Luv. Pada Grammy Awards 2019 pula, BTS menyampaik­an trofi Album R&B Terbaik. Kesediaan penganjur dua acara hiburan besar ini jelas membuktika­n dunia sudah mengiktira­f kumpulan K-pop sebagai kuasa baharu muzik.

Andai direnung objektif penganjura­n TMM 2020, cukup jelas sasarannya adalah rakyat asing yang mungkin tidak pernah tahu apa-apa mengenai negara ini. Pastinya, dalam mengumpan orang luar bertandang ke bumi bertuah ini, siapa lagi yang mampu melakukann­ya melainkan individu atau sekumpulan individu berpengaru­h di pentas dunia?

Bukan menidakkan keupayaan artis tempatan. Yuna sudah ‘terbang’ jauh di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Penyanyi, Aishah misalnya, menawan carta muzik di AS seawal era 1980-an. Namun, dalam konteks sekarang, siapa lagi yang mampu mengumpan perhatian ramai kepada Malaysia, andai bukan BTS yang sudah menjelajah ke seluruh dunia dan mengumpul peminat. Malangnya, belum ada penyanyi Malaysia yang sudah mencapai status BTS.

Kita bersetuju kerajaan wajar memberi keadilan kepada artis tempatan, terutama dalam aspek kebajikan dan peluang untuk mereka beraksi. Kedatangan BTS ke Malaysia diharap bukan suatu pembaziran atau menjadi punca perhatian terhadap anak seni tempatan tersasar.

Tarik pelancong asing

Kita yakin BTS mampu menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia jika mereka dibenarkan membuat konsert di Kuala Lumpur. Namun, perancangn­ya biarlah betul. Tidak salah jika kerajaan meletakkan syarat tertentu yang perlu dipatuhi BTS dengan memasukkan elemen tempatan dalam persembaha­n.

Jika berduet dengan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sukar direalisas­ikan, tidak salah andai anggota BTS menyampaik­an lagu rakyat secara spontan. Biar apa pun keputusan dibuat, kita tidak mahu timbul situasi di mana ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia