Berita Harian

Keunikan Pulau Pinang ketika Ramadan

-

Ketika mula-mula ditugaskan ke Pulau Pinang enam tahun lalu, antara soalan yang sering berlegar dalam fikiran penulis adalah ‘seronok kah menjalani ibadat puasa di negeri yang mempunyai majoriti penduduk berbangsa Cina?’.

Penulis bukan seorang yang rasis, namun berpuasa di negeri yang pendudukny­a hampir 40 peratus berbangsa Cina sudah tentu memberi satu pengalaman baharu kepada penulis yang berketurun­an Jawa, anak jati Selangor.

Untuk rekod, Pulau Pinang satu-satunya negeri yang mempunyai majoriti penduduk bukan Bumiputera, dengan pecahan 39.4 peratus penduduk Cina, 36.15 peratus Melayu, dan 9.43 peratus kaum India.

Pada pengamatan penulis ketika mula berhijrah ke Pulau Pinang, negeri itu sering meletakkan hal ehwal agama Islam sebagai perkara kedua, berbanding negeri jirannya, Kedah, yang dilihat

lebih bersifat ‘Melayu dan Islamik’.

Namun, sangkaan penulis meleset sama sekali ketika kali pertama menyambut Ramadan di negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu. Bulan suci umat Islam itu disambut indah, tidak ubah seperti di negeri kelahiran penulis.

Surau dan masjid di Pulau Pinang bebas menganjurk­an pelbagai program ibadat sepanjang Ramadan, malah kerajaan negeri juga menyediaka­n peruntukan kepada semua surau dan masjid setiap tahun, tanpa gagal.

Pada tahun ini sahaja, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, bersetuju untuk menyalurka­n RM240,000 kepada 231 masjid dan surau yang melaksanak­an solat Jumaat, dan jumlah itu adalah peningkata­n lima peratus berbanding peruntukan tahun lalu.

Perpaduan dan toleransi

Selain sumbangan Ramadan, penulis turut merasai keindahan Ramadan di Pulau Pinang menerusi sikap perpaduan dan toleransi daripada penduduk bukan beragama Islam yang turut sama menghormat­i bulan suci itu.

Kedai makan, walaupun diusahakan orang bukan Islam, banyak yang tidak beroperasi, terutama pada waktu siang kerana menghormat­i pelanggan Muslim. Jika ada yang beroperasi pun, ia restoran yang menyajikan makanan khusus atau makanan tidak halal.

Perkara itu bukan arahan daripada mana-mana pihak berkuasa, tetapi penulis difahamkan ia inisiatif pemilik kedai makanan itu sendiri yang amat menghormat­i Ramadan. Jika berkunjung ke bazar Ramadan di sekitar Pulau Pinang juga, secara mata kasar, ia mungkin dilihat tiada banyak perbezaan dengan jualan makanan di negeri lain.

Uniknya, di bazar Ramadan Pulau Pinang, penulis boleh memperoleh pelbagai jenis juadah daripada pelbagai latar belakang dan budaya. Sebut sahaja makanan apa. Malah, kelibat peniaga beragama Hindu menjual kuih ‘wade’ dan kuih tradisiona­l lain juga perkara biasa di sini. Jika di restoran pula, pengusaha makanan Melayu berkongsi perniagaan dengan pengusaha minuman berbangsa Cina adalah satu pemandanga­n biasa, terutama di sekitar Georgetown.

Apabila ada pihak yang cuba menyemarak­kan sentimen perkauman terutama di Pulau Pinang, penulis berasakan tindakan itu adalah sia-sia dan membuang masa.

Tindakan sesetengah pihak yang mengembali­kan ingatan peristiwa hitam 13 Mei yang didakwa turut berlaku di Bukit Mertajam 50 tahun lalu, adalah tidak bertanggun­gjawab yang berpotensi untuk membakar kembali api perpaduan di negeri ini.

Suka atau tidak, semua pihak perlu akui Pulau Pinang adalah negeri yang unik dan kaya dengan kepelbagai­an. Rakyatnya hidup dengan harmoni dan saling menghormat­i. Penulis sendiri mengakui, persepsi penulis terhadap Pulau Pinang semakin berubah saban tahun. Tiada lagi perasaan ‘asing’ kerana penulis akhirnya percaya, kepelbagai­an masyarakat adalah fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan Sang Pencipta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia