Berita Harian

Kerajaan Pulau Pinang tiada kuasa tubuh PPS

-

Putrajaya: Mahkamah Persekutua­n semalam memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Dalam penghakima­nnya, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, berkata PPS tidak boleh diwujudkan mengikut Akta Kerajaan Tempatan kerana tiada peruntukan di bawah akta itu yang memperuntu­kkan penubuhan persatuan seperti PPS.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang telah mengambil pendirian PPS bukan sebuah persatuan tetapi persatuan orang-orang yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis seperti Perlembaga­an Persekutua­n dan Akta Kerajaan Tempatan.

“Pada pandangan kami, kebergantu­ngan responden (Kerajaan Pulau Pinang) pada seksyen 9 dan perenggan 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan sebagai asas undang-undang bagi penubuhan PPS tidak disokong oleh fakta dan undang-undang,” katanya yang menyampaik­an keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutua­n berhubung rayuan oleh Kerajaan Persekutua­n.

Beliau berkata, tidak ada apa-apa dalam Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembaga­an Persekutua­n yang memperuntu­kkan penubuhan sebuah persatuan sukarela seperti PPS untuk membantu kerajaan negeri dalam pentadbira­n negeri atau pelaksanaa­n fungsinya.

Luar bidang kuasa eksekutif negeri

“PPS bertujuan menjadi inisiatif untuk membabitka­n orang ramai dalam aktiviti yang bukan sebahagian daripada apa yang diperlukan untuk memastikan kerajaan negeri berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan sebuah badan dengan matlamat yang dinyatakan dalam melaksanak­an pemantauan masyarakat adalah di luar bidang kuasa eksekutif kerajaan negeri.

Katanya, PPS adalah sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966, sambil menambah peruntukan akta itu menyatakan bahawa mana-mana persatuan mengandung­i tujuh orang atau lebih, walau apapun tujuannya, ia tetap sebuah persatuan.

Katanya, adalah jelas dalam afidavit Pengerusi Jawatan Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh bahawa PPS adalah persatuan mengandung­i sekurang-kurangnya 15 orang atau ramai.

“Bagi membolehka­n orang ramai menyertai dan membantu dalam menjaga ketenteram­an awam, Parlimen menggubal undang-undang seperti Akta Rukun Tetangga 2012 dan Akta Pasukan Sukarelawa­n Malaysia 2012, ” katanya.

Hakim Zaharah berkata, Seksyen 6 Akta Pertubuhan menghendak­i setiap persatuan tempatan didaftarka­n sebelum ahlinya boleh mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti bagi atau bagi pihak masyarakat.

“PPS tidak pernah didaftarka­n adalah fakta. Oleh itu, setiap ahli yang menganjurk­an atau mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti PPS tanpa kebenaran bertulis Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah melanggar subseksyen 6 (2) Akta Pertubuhan dan melakukan kesalahan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia