Berita Harian

Akta berkaitan FELDA bakal dinilai semula

-

Putrajaya: Akta sedia ada berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) akan dinilai semula bagi melihat keperluan untuk penambahba­ikan atau dipinda bagi mewujudkan tadbir urus lebih baik di masa depan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin, berkata usaha itu juga dapat meningkatk­an keupayaan aspek semak dan imbang dalam sistem pengurusan bagi mengelak sebarang penyelewen­gan tadbir urus agensi itu pada masa akan datang.

Radzi yang ditemui selepas memberi taklimat isu FELDA di Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini, semalam, berkata masalah yang melanda FELDA ketika ini berpunca daripada pengurusan bekas ahli lembaga pengarahny­a yang disifatkan beliau sebagai ‘teruk’.

“Ini (berlaku) apabila sistem FELDA itu tidak dihormati dan dirosakkan walaupun sistem itu wujud namun semuanya dilanggar,” katanya.

Beliau berkata, susulan kegagalan tadbir urus dan tidak dikawal, hutang FELDA melonjak sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berbanding kenaikan nilai aset hanya 107 peratus iaitu RM12.1 bilion pada 2007 kepada RM25 bilion pada 2017.

Merujuk hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan Felda termasuk pembelian (saham syarikat Indonesia) Eagle High Plantation­s TPK pada kadar lebih tinggi berbanding harga pasaran, Radzi berkata ini membuktika­n bahawa barisan pengurusan sebelum ini telah melangkaui proses sedia ada bagi membuat keputusan mereka.

“Secara jelas kita lihat bagaimana mereka langgar (sistem yang ditetapkan), kadang-kadang perkara itu dibawa ke lembaga pengarah, ada kalanya dibuat sebegitu atau seperti ini. Dia ada kaedah dia (tersendiri) dan akan cari jalan,” katanya.

Mengulas selanjutny­a, Radzi berkata penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan tersebut juga adalah sebahagian daripada kes di FELDA.

“Ada kes yang telah selesai, ada yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan ada yang masih dalam proses penelitian. Lapan kes ini sebahagian sahaja dan ada banyak lagi kes,” katanya.

Status bekas ahli lembaga

Sementara itu, pada sesi soal jawab taklimat berkenaan, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar yang ditanya mengenai status bekas ahli lembaga agensi itu, berkata tindakan berkaitan telah diambil termasuk mereka terbabit tidak lagi memegang jawatan kritikal dalam FELDA pada masa ini.

“Seramai 15 bekas ahli lembaga itu sama ada berhenti, cuti tanpa gaji dan ada yang dipindahka­n ke anak syarikat FELDA dengan memegang jawatan bukan kritikal,” katanya.

Malah, menurut Othman, pihaknya juga sedang berbincang dengan peguam untuk memastikan serta meneliti sama ada mereka adalah ‘mangsa’ atau ‘pelaku’ dalam setiap keputusan pengurusan sebelum ini.

“Kita akan pastikan mereka akan turut berhak untuk membuktika­n telah mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia