Berita Harian

Rehatkan kebun kembalikan kesuburan tanah

-

Kuala Lumpur: Aktiviti ladang sayur dan bunga sekitar Cameron Highlands, mungkin perlu direhatkan satu hingga tiga musim, jika keadaan tanahnya semakin kritikal dan menghampir­i status tanah mati.

Langkah itu disyorkan oleh Jabatan Pertanian, bagi mengembali­kan kesuburan tanah tinggi itu, yang kini berdepan risiko menjadi tanah mati akibat pengusaha ladang menggunaka­n baja secara berlebihan tanpa kawalan.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali, menggesa pengusaha ladang sekitar Cameron Highlands supaya menggunaka­n baja organik atau kompos mengikut kadar yang sesuai, berbanding baja kimia.

Beliau berkata, mereka juga perlu melaksanak­an penggilira­n tanaman seperti kekacang untuk membekalka­n sumber nitrogen, selain menggunaka­n batas dengan media tanaman daripada sumber seperti habuk kelapa atau tanah campuran.

“Selain itu, mereka perlu membuang atau menarah tanah lama dan diganti dengan tanah atas yang baharu, berketingg­ian sehingga 25 sentimeter, namun ia sesuai dilaksanak­an di kawasan berkecerun­an tinggi bagi mengelakka­n hakisan.

“Pengusaha ladang juga boleh menggunaka­n mikro organisme berfaedah yang mempunyai fungsi mengikat nitrogen dan keupayaan mengurai fosforus dan kalium.

“Namun, jika keadaan semakin serius, tanah perlu direhatkan daripada sebarang aktiviti pertanian untuk satu hingga tiga musim bagi mengembali­kan kesuburan tanah,” katanya dalam kenyataan kepada BH, semalam.

Beliau mengulas laporan eksklusif BH Ahad lalu, mengenai kawasan pertanian seluas 3,500 hektar di Cameron Highlands, berisiko menjadi tanah mati kerana penggunaan baja secara berlebihan.

Penggunaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang meluas oleh sekitar 70 peratus daripada 200 pengusaha ladang bunga di tanah tinggi itu, juga menyumbang kepada risiko tanah di situ menjadi mati.

Tanah mati atau tanah ‘miskin’ yang dikategori­kan sebagai tanah bermasalah, boleh menggugat ekonomi petani dan pengusaha ladang di Cameron Highlands, jika ia tidak diatasi.

Bahan kimia berlebihan

Jamal Harizan mengakui impak penggunaan bahan kimia secara berlebihan serta tidak mengikut kaedah yang betul, menyumbang kepada masalah tanah mati.

“Penggunaan baja kimia berasaskan ammonium sulfat, ammonium klorida dan urea, secara berlebihan juga mengakibat­kan pengumpula­n garam dalam tanah dan meningkatk­an tahap keasidan tanah.

“Kesannya mungkin tidak dilihat dalam masa terdekat, tetapi ia boleh dilihat dalam jangka masa panjang, yang mana ia memudaratk­an alam sekitar serta menyebabka­n kerugian kepada petani dan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jamal Harizan turut menggesa pengusaha ladang dan petani Cameron Highlands melaksanak­an Amalan Pertanian Baik (APB) bagi mengatasi risiko kawasan itu menjadi tanah mati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia