Berita Harian

Rumah rosak kampung dilanda ribut sebelum berbuka

-

Jempol: Lapan rumah dan lima kedai rosak, manakala tujuh pokok durian Musang King yang sedang berbuah dan dijangka matang sebulan lagi, tumbang dilanda ribut di FELDA Lui Barat di sini, petang kelmarin.

Kejadian pada jam 5 petang itu berlaku, ketika penduduk membuat persiapan berbuka puasa.

Penduduk, Md Yazid Jamaludin, 64, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu rumah, manakala isterinya sedang memasak di dapur.

Katanya, 30 minit selepas hujan lebat angin kuat melanda, menyebabka­n atap bahagian dapur dan sebahagian bilik tidur terbang.

“Deruan angin sangat menakutkan dan tidak sangka, sehingga menerbangk­an atap rumah,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM10,000.

Penduduk lain, Abd Hafidz Abd Malek, 49, berkata kejadian itu turut menyebabka­n tiga pokok dokong dan tujuh durian miliknya tumbang.

Katanya, pokok durian jenis Musang King itu sedang berbuah dan dijangka matang dalam tempoh sebulan.

“Angin terlalu kuat petang semalam (kelmarin), menyebabka­n pokok durian tumbang,” katanya.

Nilai kos baik pulih

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir, berkata kerosakan lapan rumah penduduk akan dinilai oleh agensi berkaitan, bagi proses baik pulih.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumka­n kejadian berkenaan kepada Majlis Daerah Jempol dan pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang bagi membantu penduduk.

“Ketika ini, penilaian kerosakan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian, sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Kita berharap kerajaan tampil membantu penduduk, termasuk menggunaka­n dana dari tabung bantuan bencana alam kerajaan negeri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia