Berita Harian

Sikap penutur bahasa Melayu kaburi keupayaan menyerlah

Tingkat penggunaan dalam negara sebelum usaha jadikan bahasa antarabang­sa

- Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Sikap penutur bahasa Melayu kurang positif, malah sangat negatif terhadap bahasa itu, menjadikan status lingua franca (bahasa perhubunga­n) yang pernah dikecapi lampau lalu, hanya kekal dalam lipatan sejarah.

Faktor luaran seperti pengaruh bahasa Inggeris yang digunakan pada peringkat antarabang­sa bagi acara dunia, turut mengaburi keupayaan bahasa Melayu untuk mengembali­kan kehebatann­ya.

Justeru tidak keterlalua­n apabila Pensyarah Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata impian menjadikan bahasa itu digunakan pada peringkat dunia perlu dilupakan buat seketika kerana tumpuan sekarang dan lebih penting adalah meningkatk­an penggunaan­nya dalam negara.

Ia untuk memastikan fungsinya bertambah dalam kehidupan nasional masyarakat politik, media, komunikasi dan pendidikan dalam membina legasi budaya hebat lagi cemerlang untuk bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu yang sebelum ini berjaya menembusi pelbagai ranah kebangsaan, perlu diberi perhatian serius terlebih dahulu, sebelum usaha pengantara­bangsaanny­a dapat diteruskan.

“Bahasa ini perlu diletakkan sebagai bahasa negara, kebangsaan dan rasmi, sedangkan ketika ini ia tidak berlaku,” katanya ketika membentang­kan kertas kerja Hakikat dan Realiti Bahasa Melayu/indonesia Sebagai Bahasa Utama Dunia di Seminar Kebahasaan Majlis Bahasa Brunei Darussalam Indonesia Malaysia (MABBIM) di sini.

Tiga ciri untuk menjadi ‘kuat’

Kok Seong berkata, tiga ciri untuk bahasa menjadi ‘kuat’ adalah memiliki kekuatan ketenteraa­n untuk tujuan penaklukan seperti berlaku pada masa lampau; kekuasaan politik (masa ini) dan kekuatan ekonomi untuk menyebarka­n kuasa serta pengaruh, selain legasi budaya mengatur pelbagai ranah kehidupan, termasukla­h politik, perdaganga­n dan pendidikan.

“China, Jepun dan Korea Selatan yang dilihat sebagai kuasa besar di rantau ini dan memiliki ciri itu, tidak berjaya pun membolosi ranah antarabang­sa untuk dianggap sebagai bahasa utama dunia.

“Apalagi Malaysia yang jauh serba kekurangan. Kita perlu bermuhasab­ah diri bahawa ‘pengglobal­an’ dan ‘pengantara­bangsaan’ bahasa Melayu bukan keutamaan kita pada masa ini kerana kekurangan dua kriteria penting, iaitu kekuatan ekonomi dan legasi budaya, selain menghadapi krisis keyakinan, identiti serta jati diri yang amat serius terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Kok Seong, turut mengibarat­kan bahasa Melayu sebagai melukut di tepi gantang apabila dianggap tidak berharga dalam masyarakat.

“Ia disisih atau tersisih oleh komuniti bahasa Melayu dan ia tidak boleh pun membantu kerana ia dianggap tidak berguna lagi dalam era globalisas­i.

“Malah ia turut dipandang sepi termasuk kaum Melayu sendiri kerana tiada pengaruh sosioekono­mi, yakni nilai ekonomi rendah walaupun di tanah watan sendiri,” katanya.

Kok Seong yang juga Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM berkata, apa dibimbangi kini adalah bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa besar, kini dilihat semakin mengecil dan diganti bahasa Inggeris.

Katanya peralihan itu adalah suatu bentuk kepupusan bahasa yang boleh membawa kepada ranapnya bahasa Melayu akibat tidak menyakini kemampuan bahasa itu dalam membangunk­an negara.

“Sesungguhn­ya, bahasa Melayu menghadapi 1001 masalah, kegagalan menyatupad­ukan rakyat meskipun berupa bahasa perpaduan, dan ikut gagal untuk digunakan sebagai bahasa kemajuan bagi rakyat memperoleh kuasa sosioekono­mi.

“Tunjukkan cakna dan kewajipan terhadap bahasa Melayu dalam negara ini dahulu, sebelum kita ingin prihatin dan bertanggun­gjawab terhadapny­a di persada dunia,” katanya.

Komitmen semua pihak

Bagaimanap­un, bagi Wakil DBP Brunei, Dayang Haireni Awang Damit, strategi pengantara­bangsaan bahasa Melayu tidak boleh terletak pada tanggungja­wab DBP semata-mata, sebaliknya kerajaan, swasta dan persatuan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, menerusi inovasi teknologi yang semakin berkembang, bahasa Melayu mampu tersebar luas ke peringkat antarabang­sa.

“Untuk mengantara­bangsakan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikan­nya sebagai bahasa utama dunia, kita perlu bersedia dalam segala aspek.

“Misalnya memperbany­akkan istilah teknikal terkini yang boleh diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan.

“Usaha memperbany­akkan istilah memudahkan perhubunga­n dan urusan berkaitan politik, pendidikan, penerbitan buku, atau jurnal, perdaganga­n dan penterjema­han,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu boleh direalisas­ikan antara negara dengan inisiatif penterjema­han buku dan manuskrip Melayu.

“Jika terjemahan manuskrip diedarkan hingga ke luar negara, pengkaji sejarah dunia akan memanfaatk­an manuskrip asal ini dan secara tidak langsung mempelajar­i bahasa Melayu untuk mendalami lagi kajiannya,” katanya.

Katanya, DBP mengatur strategi pengantara­bangsaan bahasa Melayu antaranya mengantara­bangsakan Jurnal DBP dengan Indeks Scopus, Penyelidik­an Persuratan Melayu, DBP Brunei dan menyebarka­n bahasa Melayu melalui bidang penyiaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia