Berita Harian

Misi serampang dua mata Woods

-

Amerika Syarikat: Tiger Woods memulakan misinya, esok untuk merangkul gelaran major ke-16 dan kemungkina­n kembali ke kedudukan satu dunia, dengan pusingan latihan Kejuaraan PGA berlangsun­g dalam cuaca hujan dan sejuk.

Pemain Amerika Syarikat berumur 43 tahun itu yang mengakhiri kemarau 11 tahun apabila memenangi Masters bulan lalu, bermain sembilan lubang di Bethpage Black dalam masa bawah dua jam setengah menjelang kejohanan major kedua pemain itu tahun ini.

“Saya rasa baik sekali,” kata Woods kepada Golfweek. “Ada beberapa hari lagi untuk berusaha dan saya sudah bersedia untuk ke sana.”

Woods berharap dapat merapatkan jurang rekod sepanjang zaman 18 gelaran major yang dikumpul Jack Nicklaus dan meraih gelaran Kejuaraan PGA kelimanya, untuk menyamai rekod Nicklaus dan Walter Hagen.

“Untuk menyamai lima kemenangan Hagen dan Nicklaus akan menjadi pencapaian yang sangat istimewa,” katanya.

Cuaca lebih panas

Kemenangan di kejohanan itu akan membolehka­n Woods menyamai rekod gelaran PGA Amerika Syarikat sepanjang zaman dipegang Sam Snead sebanyak 82 kejuaraan.

Woods, yang kariernya terganggu berikutan kecederaan belakang berulang sebelum melakukan pembedahan pada tahun 2017, memenangi Terbuka AS 2002 di Bethpage Black dan berkongsi di kedudukan keenam pada Terbuka AS 2009, tetapi kedua-dua kejohanan itu berlangsun­g pada pertengaha­n tahun di mana cuacanya lebih panas.

Kejuaraan PGA kali ini adalah yang pertama sejak 1948 diadakan pada Mei selepas acara itu dianjak dari bulan Ogos pada edisi sebelumnya.

Woods menjalani latihan sebanyak empat kali seminggu, termasuk sesi 18 lubang di Long Island Rabu lalu, dua hari selepas menerima pingat Pingat Kebebasan Presiden daripada Presiden Donald Trump di White House.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia