Berita Harian

‘Semua pemain Reds kekal sehingga juarai EPL’

-

London: Pertahanan Liverpool, Andy Robertson melaungkan amaran buat Manchester City yang skuad kendalian Jurgen Klopp akan terus kekal bersama sehingga mereka memenangi Liga Perdana Inggeris.

City mengatasi Liverpool untuk kejuaraan liga pada hari terakhir musim dengan kemenangan 4-1 ke atas Brighton, dan Reds menamatkan saingan di tangga kedua walaupun merakam kemenangan ke atas Wolves.

Liverpool ketinggala­n hanya satu mata di belakang skuad bimbingan Pep Guardiola, tetapi semangat anak buah Klopp semakin membara dalam persiapan menghadapi Tottenham pada final Liga Juara-juara 2 Jun ini.

Kapten Scotland, Robertson yakin tonggak Liverpool akan kekal di Anfield untuk tempoh yang lama, meletakkan mereka di kedudukan terbaik untuk merampas kejuaraan dari City.

Tak mahu hilang sesiapa

“Kami pasukan yang mantap, kumpulan pemain muda, jadi diharapkan kami akan berada di sini untuk beberapa tahun lagi dan menjadi pasukan yang lebih baik daripada segi kematangan dan pengalaman tahun depan,” kata Robertson.

“Ia skuad yang hebat dan saya suka menjadi sebahagian daripadany­a. Saya pasti banyak yang kami pelajari musim ini, dan kami hanya perlu membawanya ke musim depan.

“Saya harap kami tidak kehilangan sesiapa. Kami tidak mahu kehilangan sesiapa dan akan mengharung­i musim depan dengan lebih kuat.”

Guardiola turut mengakui Liverpool menjadikan kejuaraan kali ini cukup sukar buat mereka, di mana City terpaksa memenangi 14 aksi terakhir liga untuk menamatkan saingan pada 98 mata - jumlah kedua tertinggi dalam era Liga Perdana.

Liverpool menamatkan saingan 25 mata di depan Chelsea di tangga ketiga dan 31 mata mengatasi Manchester United yang berada di tangga keenam. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia