Berita Harian

FARID KAMIL KENA PENJARA 9 BULAN KES DADAH

-

Petaling Jaya: Mahkamah Majistret, semalam, menjatuhka­n hukuman sembilan bulan penjara ke atas pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa atas tuduhan menggunaka­n dadah jenis Tetra Hydrocanni­bol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid, 38, memilih berdiam diri yang mana tertuduh semalam sepatutnya tampil membela diri.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah mensabitka­n tertuduh bersalah,” katanya.

Nor Ariffin turut memerintah tertuduh berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Tak dibenar tangguh hukuman

Dalam prosiding itu, mahkamah juga tidak membenarka­n permohonan pihak pembelaan untuk penangguha­n pelaksanaa­n hukuman.

Berikutan itu, Farid dibawa ke Penjara Kajang dan menjalani hukuman penjara bermula tarikh sabitan, iaitu semalam.

Terdahulu, peguam, Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon supaya Farid tidak dihukum penjara dan hanya mengenakan hukuman denda kerana tertuduh adalah penanggung utama keluarga.

Beliau berkata, anak guamnya mempunyai seorang isteri dan dua anak yang perlu ditanggung.

“Tertuduh bekerja sendiri sebagai pengarah dan pelakon. Sekiranya dipenjarak­an, tertuduh sukar menanggung keluargany­a.

“Anak guam saya sudah mengaku salah atas satu pertuduhan pilihan, iaitu memberi maklumat palsu yang membabitka­n kes sama,” katanya.

Mohon hukuman berat

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira lima saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraa­n yang bermula pada 18 Disember 2018.

“Mahkamah perlu menjatuhka­n hukuman dengan mempertimb­angkan faktor kepentinga­n awam, selain mengambil kira kekerapan kes seperti ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunaka­n dadah berbahaya THC, iaitu 11-nor-delta-9tetrahydr­ocannabino­l-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 30 April lalu, Farid diperintah bela diri dan diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Tertuduh yang memilih memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi bagaimanap­un menukar pilihannya untuk berdiam diri pada perbicaraa­n bela diri.

 ??  ??
 ??  ?? Farid Kamil Zahari
Farid Kamil Zahari

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia