Berita Harian

‘Bersungkai’ dalam gerabak kereta api

Penumpang tak sempat sampai ke rumah, berbuka dalam perjalanan

- Oleh Rafiqah Dahali

Sekali-sekala berbuka puasa atau ‘bersungkai’ di dalam kenderaan kerana tidak sempat sampai ke rumah dari tempat kerja, bukan pengalaman asing bagi kebanyakan umat Islam.

Namun, berbeza bagi penumpang tetap Keretapi Negeri Sabah (KNS) yang berulang-alik ke Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort apabila mereka berbuka puasa dalam kereta api hampir sepanjang Ramadan, kecuali pada hari cuti atau hujung minggu.

Malah, ada penumpang bertahun-tahun melalui rutin itu setiap Ramadan berikutan jadual kereta api bertolak pada jam 5.30 petang dari Stesen

Sembulan, di sini, biasanya tiba di lima destinasi terbabit selepas waktu berbuka puasa.

Kereta api jadi pilihan

Penjawat awam dari Papar, Hamizah Senor, 45, berkata beliau menjadi pelanggan tetap KNS sejak lebih 10 tahun lalu dan sudah biasa berbuka puasa bersama-sama penumpang Islam lain di dalam kereta api ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Beliau yang bertugas di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berkata, kereta api menjadi pengangkut­an pilihan kerana kedudukan stesen berhampira­n pejabat dan tambang murah, iaitu hanya RM1.85 ke Papar berbanding RM5 sehala jika menaiki bas.

“Oleh itu, saya lebih suka menaiki kereta api sejak belum berkahwin hinggalah sudah ada anak kini walaupun terpaksa berbuka puasa di dalam gerabak.

“Lagipun bagi saya, menaiki kereta api lebih selamat dan tenang berbanding memandu sendiri atau menaiki bas,” katanya.

Difahamkan, tambang perkhidmat­an KNS dari ibu negeri tidak berubah sejak lebih 10 tahun lalu, iaitu RM1.85 ke Papar, Kimanis (RM2.70), Bongawan (RM3.20), Membakut (RM3.75) dan Beaufort (RM4.80), membabitka­n jarak keseluruha­n 90 kilometer.

Kebanyakan penumpang tetap perkhidmat­an itu adalah penjawat awam yang bertugas di beberapa jabatan negeri dan Persekutua­n berhampira­n Stesen Sembulan, di sini.

Kakitangan Jabatan Air Sabah (JANS), Arifin Mudin, 32, yang balik ke Membakut, berkata beliau menggunaka­n perkhidmat­an KNS sejak sembilan tahun lalu dan menganggap pengalaman berbuka puasa di dalam kereta api sebagai istimewa.

“Berbuka puasa di dalam kereta api bersama rakan yang juga menaikinya setiap hari, memang sangat istimewa dan menyeronok­kan.

“Saya akan singgah membeli juadah di bazar Ramadan sekitar Sembulan atau Putatan terlebih dahulu untuk dimakan pada waktu berbuka di dalam kereta api,” katanya.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ramli Tahir, 36, pula mengaku Ramadan tahun ini adalah pengalaman pertama beliau berbuka puasa di dalam kereta api selepas menjadi pelanggan tetap KNS untuk berulang-alik ke Beaufort sejak sembilan bulan lalu.

“Berbuka puasa di dalam kereta api tidak sama dengan berbuka puasa bersama keluarga di rumah atau restoran, namun bagi saya, ia satu pengalaman istimewa,” katanya.

 ?? [FOTO RAFIQAH DAHALI /BH] ?? Suasana penumpang berbuka puasa di dalam gerabak ketika perjalanan balik dari Kota Kinabalu.
[FOTO RAFIQAH DAHALI /BH] Suasana penumpang berbuka puasa di dalam gerabak ketika perjalanan balik dari Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia