Berita Harian

Kunci mulut, hormati peraturan pucuk pimpinan: MB Terengganu

-

Kuala Terengganu: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil sikap mengunci mulut ketika ditanya berhubung dakwaan pembabitan­nya dalam isu kartel dedak yang dibangkitk­an menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad.

Ahmad Samsuri berkata, beliau menghormat­i peraturan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan PAS supaya perkara berkaitan hal parti tidak diulas buat masa ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mengakui hanya mengetahui mengenai dakwaan pembabitan­nya dalam isu kartel dedak menerusi media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga enggan mengulas mengenai poster kartel dedak PAS yang memaparkan gambar beliau bersama Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Ghazali; Ahli Jawatankua­sa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ditanya adakah beliau mahu membuat penafian mengenai perkara itu, Ahmad Samsuri menjawab: “Saya nak nafi ke nak buat kenyataan ke, biar saya bercakap dengan pihak partilah. Biar saya tak bercakap, kunci mulut... berpuasa.

Tak nak ulas

“Sebab Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan dah kata jangan cakap dalam media, jadi saya tak nak ulaslah,” katanya selepas mempengeru­sikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Zaharuddin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS dalam pendedahan­nya sebelum ini mendakwa, kartel dedak itu diketuai pemimpin parti yang beliau gelar sebagai Dr Hussam II (kepala no 1) yang dibayangka­n sebagai pemimpin licik, diikuti senarai kedua dinamakan sebagai Mr NT; ketiga Menteri Besar Terengganu Mr KT; keempat Mr KH dan kelima ‘semua dah tahu’.

Susulan itu tular satu poster dipercayai dikeluarka­n bekas pemimpin PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Poster

Gambar pada poster itu menyatakan Dr Hussam II adalah Dr Ahmad Samsuri, Mr NT dinamakan sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Tantawi; Mr KT pula dikatakan Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali Al-takiri; Mr KH dinamakan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ‘Semua dah tahu’ adalah Ahli Jawatankua­sa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagaimanap­un, Zaharudin menafikan Ahmad Samsuri dan adik iparnya, Muhammad Khalil tersenarai daripada lima pemimpin yang beliau dedahkan tanpa menamakan mereka.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia