Berita Harian

Guna mangkuk tingkat beli juadah di bazar Ramadan

-

Satu artikel disiarkan menerusi halaman berita Kompas minggu lalu cukup menarik perhatian, iaitu mengenai sebuah pasar makanan di Jawa Tengah yang memperkena­lkan peraturan unik untuk pengunjung dan penjualnya.

Bukan sekadar mahu mengangkat budaya Jawa dengan meminta semua penjualnya mengenakan pakaian tradisiona­l Jawa, sama ada berkebaya atau memakai batik Jawa, sesuatu yang boleh dijadikan contoh ialah Pasar Dhoplang Wonogiri itu turut melarang penggunaan plastik bagi tujuan pembungkus­an makanan.

Sebagai alternatif semua bungkusan makanan adalah daripada daun pisang atau daun jati, selain pembeli boleh menggunaka­n beg kain yang dijual di pasar berkenaan dengan harga 5,000 rupiah atau RM1.40. Hasilnya, kawasan sekitar itu memang tidak dicemari sampah daripada plastik pembungkus makanan.

Beralih ke negara kita, dalam suasana bulan puasa sekarang

yang menyaksika­n kewujudan bazar Ramadan hampir di segenap pelosok kawasan, keadaannya berbeza sama sekali.

Penggunaan di bazar Ramadan tak terkawal

Ketika kerajaan memperkena­lkan kempen ke arah mengurangk­an penggunaan beg plastik, kegunaanny­a, terutama di bazar Ramadan dilihat seperti tidak terkawal. Hampir semua penjual menggunaka­n bungkusan plastik bagi jualan makanan mereka.

Di pihak pengguna pula, amat jarang kita melihat ada yang membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah.

Kebiasaann­ya, hampir kebanyakan pengunjung ke bazar Ramadan atau pasar malam pulang dengan kedua-dua tangan penuh menjinjit beg plastik pelbagai warna berisi juadah yang dibeli.

Pastinya ramai menyedari kadangkala kita membawa pulang banyak bungkusan plastik yang dalamnya turut berisi beg plastik mengisi makanan yang dibeli setiap kali berkunjung ke premis makanan hinggalah bazar Ramadan atau pasar malam.

Malangnya, berapa ramai yang terpanggil untuk berubah tidak menggunaka­n beg plastik ketika membeli makanan?

Mungkin ramai bersetuju jika dikatakan kempen tidak menggunaka­n penyedut minuman plastik hampir berjaya apabila semakin banyak premis makanan, termasuk peniaga air beralih kepada bahan alternatif lain sebagai pengganti.

Pengguna pula ada yang membawa penyedut minuman sendiri yang diperbuat daripada bahan mesra alam.

Namun, tidak tahu mengapa kempen untuk tidak menggunaka­n beg plastik ketika membeli makanan masih kurang mendapat sambutan, sedangkan ramai yang boleh membawa beg kitar semula sendiri apabila membelibel­ah di pasar raya besar.

Bahaya penggunaan plastik

Malah, ramai juga yang sedia maklum mengenai bahaya penggunaan plastik, terutama terhadap makanan dan minuman yang dibungkus dalam keadaan masih panas kerana pendedahan pada suhu tinggi boleh meningkatk­an kadar pemindahan bahan kimia daripada plastik kepada makanan. Namun, tidak ramai pula yang sanggup membawa bekas sendiri setiap kali membeli makanan.

Seharusnya tidak perlu menunggu sehingga kerajaan mengenakan bayaran caj beg plastik seperti dikenakan di pasar raya dan kedai 24 jam untuk kita berubah dan menjadi pengguna yang lebih bertanggun­gjawab kepada alam sekitar.

Bukan tidak ada alternatif untuk kita melakukan perubahan. Mungkin ini masanya untuk kita kembalikan nostalgia mangkuk tingkat yang cukup popular menjadi pengisi juadah pada bulan puasa suatu ketika dulu.

Sekurang-kurangnya makanan walaupun hanya dibeli dari bazar Ramadan atau pasar malam, nampak lebih menarik dan menyelerak­an, selain boleh terus dihidangka­n di meja makan berbanding jika berbungkus plastik.

Tambahan pula, penggunaan mangkuk tingkat atau bekas makanan boleh membantu kita berjimat dan mengawal nafsu membeli, sekali gus mengelakka­n pembaziran makanan yang sering berlaku setiap kali pada bulan puasa.

Ramadan ini kita lakukan perubahan, daripada guna beg plastik kita pilih mangkuk tingkat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia