Berita Harian

Akta wajar dipinda segera untuk lindungi aset

-

Kuala Lumpur: Akta Penempatan Berkelompo­k (GSA) 1967 yang menyekat milikan mutlak peneroka FELDA ke atas tanah rancangan yang diusahakan mereka, perlu dipinda segera selaras kehendak semasa.

Setiausaha Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Rauzan Esa, berkata selain memastikan status milikan mutlak tanah diberikan kepada peneroka, pindaan juga perlu untuk membolehka­n urusan pindah milik dibuat kepada waris atau generasi seterusnya.

“Umum mengetahui tanah ini adalah aset peneroka, hasil titik peluh mereka yang membayar kepada FELDA melalui potongan hasil ladang puluhan tahun sebelum dikurniaka­n geran. Berdasarka­n rekod, sehingga 2016, hampir 85 peratus atau 92,595 peneroka sudah menerima geran hak milik.

Pewaris bukan pemilik

“Bagaimanap­un, ketika ini, tiada hak di sisi undang-undang untuk pentadbir memohon apa-apa tuntutan yang berhak, termasuk mendapat milikan mutlak ke atas tanah rancangan itu, terutama dari segi nilai, kerana pewaris bukan pemilik tanah itu.

“Malah isu ‘pemilikan tidak sempurna’ terhadap tanah FELDA ketika ini juga mencetuska­n pemahaman berbeza dalam kalangan pengamal undang-undang itu sendiri,” katanya kepada BH.

Rauzan menegaskan GSA 1967 bukan tidak relevan, cuma beberapa bahagian dalam akta terbabit memerlukan penambahba­ikan, terutama dalam isu pindah milik harta pusaka.

“GSA 1967 mengundang masalah selepas peneroka meninggal dunia kerana tanah rancangan tidak boleh dipindah milik. Sebaliknya, dua waris dilantik sebagai pentadbir dan menyedihka­n status mereka bukan sebagai pemilik tanah.

“Masalah utama berhubung hak milik tanah FELDA ialah ia berstatus pemilikan tidak sempurna, menyebabka­n segala transaksi membabitka­n tanah terbabit tertakluk kepada kebenaran pihak FELDA.

“Walaupun geran individu dikeluarka­n, ia tetap tidak boleh dianggap milikan sempurna kerana ada perjanjian di antara peneroka asal dan FELDA yang mengikat kedua-dua pihak. Namun, pada pandangan kita ia perjanjian bersifat sebelah pihak.

“Justeru, sebelum pindaan dilakukan ke atas GSA, perjanjian asal di antara peneroka dan FELDA perlu dilihat semula dan saya percaya kebanyakan waris atau peneroka FELDA tidak jelas mengenai perjanjian itu.

“Malah, saya juga percaya tidak ramai peneroka FELDA memiliki surat asal perjanjian berkenaan,” katanya.

Mengulas kepentinga­n pindaan GSA, Rauzan berkata, ia perlu dilaksanak­an segera memandangk­an status tanah pajakan FELDA 99 tahun sudah tidak panjang dan ada di antaranya sudah berusia 60 tahun.

“Tempoh status pajakan tanah FELDA hanya berbaki kira-kira 30 tahun. Andai tiada pindaan dibuat untuk menyelesai­kan isu tanah pusaka FELDA ini, apa jaminan kepada generasi peneroka apabila tempoh pajakan itu tamat?,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia