Berita Harian

Md Ali diberi peluang perjelas tuduhan rompak

-

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas pegawainya, Md Ali Amir Batcha untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau dituduh merompak ketika bertugas 20 tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata beliau mengambil sikap terbuka dan akan mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan walaupun kes itu telah lama berlaku.

“Saya akan panggil beliau, mungkin ada perkara baharu yang beliau mahu bangkitkan. Ini juga kerana penampilan beliau jelas menunjukka­n bahawa beliau yakin tidak bersalah. Apa yang ada pada rekod PDRM, semua keadilan telah dilaksanak­an dalam kes beliau.

“Saya ambil sikap terbuka mendengar apa juga. Mungkin beliau ada perkara baharu untuk dibangkitk­an dalam hal ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di sini semalam.

Baru-baru ini, Md Ali, 65, yang pernah bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan beliau melakukan rompakan pada 1990-an yang didakwanya palsu.

Md Ali mendakwa menjadi mangsa kepada satu konspirasi dan kini mahu membuktika­n beliau tidak pernah terbabit dalam rompakan terbabit.

Dalam perkembang­an lain, Abdul Hamid berkata, anggota Cawangan Khas (SB) akan bertugas seperti biasa walaupun ada arahan oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) supaya mereka memperkena­lkan diri ketika hadir sebarang majlis anjuran parti itu.

Polis hanya laksanakan tugas

“Ia bukan isu pun, mereka (parti politik) boleh katakan apa sahaja, ia tidak memberi kesan kepada saya, SB dan PDRM. Selama 212 tahun PDRM, tidak pernah ada sebarang kesulitan untuk pegawai dan anggota polis hadir mana-mana acara. Jadi, saya tidak anggap ia sebagai isu,” katanya.

Abdul Hamid secara berseloroh berkata, PDRM akan meminta Kementeria­n Dalam Negeri menyediaka­n bajet membuat plakad pengenalan diri untuk setiap anggotanya jika larangan berkenaan kekal.

“Saya tidak tahu mengapa perkara ini dijadikan isu sebegitu sekali. Kita tidak berdepan apa-apa masalah apabila anggota dan pegawai turun ke bawah (ke majlis anjuran parti politik) untuk melaksanak­an tugas mereka,” katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan, kehadiran pegawai dan anggota SB di sebarang acara anjuran mana-mana parti politik adalah berniat baik iaitu untuk menjaga keamanan kerana kemungkina­n berlaku ‘situasi panas’ ketika sidang media berlangsun­g.

“Kehadiran polis di situ akan mententera­mkan keadaan. Jika mereka (parti politik) nak larang, laranglah, tetapi kehadiran polis di situ untuk melaksanak­an tugas, maka mereka akan terus berada di situ,”katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia