Berita Harian

Johor aktif pengimbas haba di pintu masuk

-

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Johor mengambil langkah berjaga-jaga terhadap ancaman cacar monyet dengan sentiasa mengaktifk­an pengimbas haba di pintu masuk pejalan kaki Singapura-malaysia Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Pengarahny­a, Dr Selahudden Abd Aziz, berkata pemantauan berterusan dilakukan walaupun Singapura menyatakan penyakit itu sudah dibendung di republik itu.

“Pemantauan berterusan sememangny­a dilakukan pihak kami termasukla­h mengenal pasti mereka yang memiliki gejala atau simptom awal cacar monyet iaitu demam,” katanya ketika dihubungi BH semalam.

Katanya, jabatan memberi jaminan tiada ancaman cacar monyet di negeri ini selepas Singapura berjaya membendung jangkitan itu daripada merebak.

Beliau berkata, sehingga ini hanya seorang individu pembawa jangkitan import, iaitu lelaki Nigeria yang sudah melalui proses isolasi, selain 23 lagi individu berhubunga­n dengannya dikuaranti­n di republik itu.

Beliau berkata, sehubungan itu bahaya cacar monyet dalam kalangan orang ramai di Singapura dan Johor tidak berlaku.

Dr Selahudden berkata, punca jangkitan cacar monyet adalah dengan memakan daging haiwan liar (bush meat) yang sudah tercemar atau dijangkiti kuman.

“Daging yang dijangkiti kuman ini tidak ada di Singapura kerana ia adalah kategori bush meat, iaitu haiwan seperti monyet, tikus roden dan haiwan mamalia lain yang diburu serta dijadikan makanan khususnya di Nigeria dan sebahagian negara Afrika.

Kementeria­n Kesihatan Singapura berkata, risiko tersebar adalah rendah walaupun tidak mustahil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia