Berita Harian

Kerajaan rugi RM26.87 juta projek PUSPAHANAS lewat

Kelemahan urus tadbir kontrak, kewangan antara punca

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Kerajaan menanggung kerugian RM26.87 juta kerana kelewatan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Presint 1, Putrajaya yang disebabkan kelemahan urus tadbir kontrak dan kewangan serta perancanga­n.

Kerugian projek bernilai RM99 juta itu sepatutnya siap pada 23 Oktober 2014 berikutan penurunan nilai tanah Kementeria­n Pertahanan (KEMENTAH) yang ditukar (swap) dengan pemaju projek itu.

Kelemahan itu terkandung di dalam rumusan Laporan Siasatan Jawatankua­sa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang disiarkan dalam laman web KEMENTAH, semalam.

“Justeru, tindakan punitif perlu dikenakan ke atas jabatan atau pegawai yang gagal melaksanak­an tanggungja­wab diamanahka­n untuk mengelak kelemahan urus tadbir pada masa depan,” kata laporan itu.

Berdasarka­n kontrak yang ditandatan­gani, kos projek PUSPAHANAS adalah RM99 juta dan sebagai balasan, tiga lot tanah KEMENTAH seluas 89.3 hektar bernilai RM72.5 juta dipindah milik kepada syarikat pemaju dilantik.

Projek ini mengambil masa 11 tahun untuk dilaksanak­an sejak tarikh kelulusan prinsip diputuskan Jemaah Menteri pada 26 Februari 1997 sehingga ia bermula di tapak Presint 1, Putrajaya pada 11 Ogos 2008.

Untuk rekod, Jemaah Menteri meluluskan secara prinsip projek ini dibina Syarikat Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) di atas tanah kementeria­n seluas 88.4 hektar di Templer Park, Selangor pada 1997.

Projek ini dilaksanak­an secara penswastaa­n melalui kaedah pertukaran tanah (land swap), namun tidak dapat diteruskan berikutan sebahagian daripada tapak projek, bertindih dengan pembinaan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR).

Pada Januari 2007, Jemaah Menteri bersetuju memindahka­n PUSPAHANAS ke Presint 1, Putrajaya.

Sehingga 31 Oktober lalu, 98.13 peratus projek itu disiapkan, namun ia masih lewat 465 hari daripada tarikh sepatutnya siap iaitu 23 Julai 2017.

PUSPAHANAS dijangka mula beroperasi Jun ini, akan menempatka­n Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Institut Pertahanan dan Keselamata­n Malaysia (MIDAS) serta sebuah maktab baharu, Maktab Pertahanan Nasional (NDC).

Jika diambil kira tarikh semasa pada Oktober 2018, projek ini berlarutan selama 21 tahun (sejak 1997) dan masih belum disiapkan sepenuhnya.

Nilai tanah diturunkan

Sementara itu, laporan jawatankua­sa siasatan turut mendapati nilai tanah yang terbabit dengan pertukaran itu diturunkan selepas pemaju memohon Menteri Pertahanan ketika itu supaya nilai tanah pertukaran dikurangka­n kepada RM65 juta atas alasan kejatuhan mata wang dan kelembapan ekonomi pada 1997/1998.

Bagaimanap­un, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) menilai tanah terbabit sebanyak RM77 juta berasaskan nilaian kegunaan terbaik tertinggi atau RM68 juta jika berdasarka­n kegunaan cadangan pemaju.

Sebaliknya, Unit Perancanga­n Ekonomi (EPU) menetapkan nilai tanah pertukaran sebanyak RM72.5 juta iaitu RM77 juta untuk kegunaan terbaik dan tertinggi serta RM68 juta mengikut cadangan pemaju, sekali gus menyebabka­n nilai tanah itu berkurang sebanyak RM4.5 juta.

“Jawatankua­sa siasatan mendapati penetapan nilai tanah sebanyak RM72.5 juta oleh EPU ini tidak mempunyai asas yang kukuh dan diragui,” kata laporan itu.

Jemaah Menteri pada Jun 2012 kemudian membuat keputusan menurunkan nilai tanah kepada RM87.5 juta berbanding harga nilaian JPPH sebanyak RM94 juta selepas mengambil kira nilai diluluskan kerajaan pada 2001 dan 2003.

“Jawatankua­sa berpendapa­t nilai baharu berasaskan penilaian tahun 2003 tidak mempunyai asas kerana projek dilaksanak­an pada 2011. Penguranga­n nilai kepada RM87.5 juta tidak mempunyai asas kerana penilaian JPPH dikira mengikut nilaian tahun 2003.

“Jawatankua­sa berpandang­an penguranga­n sebanyak RM6.45 juta adalah kerugian kepada kerajaan,” kata laporan itu.

Syor kepada KEMENTAH

Berdasarka­n penemuan siasatan, jawatankua­sa siasatan mengesyork­an KEMENTAH mengambil beberapa langkah untuk melindungi kepentinga­n kerajaan dalam projek berkenaan antaranya:

KEMENTAH perlu melalui Jabatan

Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) memasukkan Kaveat Pendaftar bagi memelihara tiga tanah kerajaan di Kapar, Klang dan Bukit Raja, Petaling, Selangor yang terbabit dengan land swap (pertukaran tanah).

Kaveat Pendaftar tidak akan dibatalkan sehingga syarikat pemaju memenuhi semua obligasi di dalam kontrak selain tindakan perundanga­n perlu diambil bagi menuntut ganti rugi daripada pemaju kerana lewat menyiapkan PUSPAHANAS.

KEMENTAH tidak boleh mengadakan sebarang perjanjian tambahan di antara kerajaan dan syarikat pemaju dilantik kerana dikhuatiri melupuskan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) dan melewatkan projek.

Semua LAD yang dikenakan kepada syarikat pemaju hendaklah dipungut dan tidak boleh dikecualik­an serta KEMENTAH perlu melantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek jika pemaju dilantik gagal menyiapkan projek, dengan kos ditanggung pemaju sepenuhnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia