Berita Harian

Lelaki melebihi wanita di Malaysia

Perangkaan Demografi suku tahun pertama 2019 catat 32.66 juta penduduk

-

Penduduk di Malaysia yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 dianggarka­n berjumlah 32.66 juta, dengan penduduk lelaki melebihi perempuan, demikian menurut Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2019.

Ketua Perangkawa­n, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penduduk lelaki yang dicatatkan dalam tempoh itu berjumlah 16.86 juta, berbanding perempuan seramai 15.80 juta.

“Nisbah jantina adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam mengenai laporan perangkaan demografi itu.

Beliau berkata, daripada 32.66 juta penduduk itu, sebanyak 29.31 juta adalah penduduk warga negara, manakala 3.35 juta bukan warga negara.

Selangor mencatatka­n komposisi penduduk tertinggi, iaitu 6.54 juta orang, manakala Putrajaya mencatatka­n komposisi penduduk terendah, iaitu 92,640 orang, katanya.

Meningkat 1.1 peratus

“Jumlah penduduk yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2019 itu meningkat 1.1 peratus berbanding 32.29 juta pada suku tahun pertama 2018, katanya.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) turun daripada 7.71 juta pada suku tahun pertama 2018 kepada 7.69 juta suku pertama tahun ini, manakala penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) pula meningkat daripada 22.51 juta kepada 22.80 juta bagi tempoh sama.

“Bilangan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) pula meningkat daripada 2.07 juta kepada 2.17 juta bagi tempoh sama.

“Trend yang ditunjukka­n ini adalah selari dengan negara maju, iaitu negara ke arah penuaan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, 116,850 kelahiran hidup direkodkan pada suku pertama 2019, manakala 42,647 kematian direkodkan dalam tempoh itu.

 ??  ?? Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia