Berita Harian

Barangan skim kawalan harga ditambah

Tempoh pelaksanaa­n mulai 21 Mei hingga 19 Jun

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa akan bermula 21 Mei hingga 19 Jun ini, dilanjutka­n pelaksanaa­nnya selama 30 hari berbanding 15 hari tahun lalu.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata SHMMP kali ini membabitka­n kawalan harga bagi 27 jenis barangan berbanding 21 barangan sebelum ini.

“Ada penambahan enam barangan berbanding pelaksanaa­n pada 2018 iaitu ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaa­n skim tahun ini.

“Semua barangan ini mendapat permintaan tertinggi oleh masyarakat ketika perayaan, oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilk­an harga dan bekalan di pasaran.

Liputi Pesta Kaamatan, Gawai

“Antara barangan lain yang turut disenaraik­an ialah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import),” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Yang hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Pada masa sama, Saifuddin turut mengumumka­n pelaksanaa­n SHMMP Pesta Kaamatan yang bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei hingga 7 Jun selama 14 hari.

“Tempoh 14 hari itu membabitka­n tujuh hari sebelum, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan berbanding tujuh hari pelaksanaa­nnya sebelum ini.

“Sebanyak 14 jenis barangan bagi pelaksanaa­n SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berbanding 13 jenis barangan sebelum ini, iaitu membabitka­n pertambaha­n barangan cili kering,” katanya.

2,300 penguat kuasa bertugas

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua barangan yang disenaraik­an dalam SHMMP mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan dan kawalan harta dibuat bagi menstabilk­an harga dan bekalannya di pasaran.

Selain itu, Saifuddin berkata, bagi membendung kenaikan harga, tindakan pengeluara­n notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencat­utan 2011 dilaksana ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga.

“Seramai 2,300 penguat kuasa akan bertugas sepanjang SHMMP,” katanya.

Jamin bekalan cukup

Sementara itu, Salahuddin memberikan jaminan, bekalan makanan seperti daging, ikan, ayam dan kelapa mencukupi malah kementeria­nnya akan bekerjasam­a erat dengan KPDNHEP bagi memastikan harga bahan makanan berpatutan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, jualan Jimat Belanja Aidilfitri@pasar Tani selama lima hari sebelum Aidilfitri juga akan dianjurkan di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatka­n bekalan pada harga berpatutan.

“Bagi tahun ini, setiap bahan makanan kita tingkatkan tambahan bekalan 10 peratus bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan perayaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia