Berita Harian

Pendekatan bukan perkara baharu

-

Kuala Lumpur: Pendekatan memberi taraf kerakyatan bagi ‘membeli’ kejayaan di temasya sukan utama dunia bukan perkara baharu, namun biar ia mengikut cara betul dan tidak melalui jalan singkat.

Itu pandangan diberi oleh jurulatih terjun negara, Christian Brooker yang tidak menghalang sebarang cadangan mengambil atlet luar mewakili negara asalkan dilakukan mengikut proses undang-undang.

“Saya sudah melihat perkara ini di negara lain seperti di Australia yang mana ada atlet menukar kewarganeg­araan untuk mewakili Australia. Bahkan, ia menjadi perkara biasa dalam sukan terjun hari ini.

“Memang terdapat peraturan yang tidak membolehka­n atlet sewenang-wenangnya menukar kewarganeg­araan. Setiap sukan berbeza tetapi tidak silap saya seperti sukan terjun anda tidak boleh mewakili negara asal anda untuk tempoh empat tahun sebelum beraksi buat negara baharu anda.

“Apapun ia tidak salah asalkan atlet berkenaan melalui proses yang adil dalam mendapat status kerakyatan,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Rundingan masih terbuka

Kelmarin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui tidak menutup pintu rundingan untuk merekrut atlet asing terutamany­a dalam acara yang prestasiny­a kurang memberangs­angkan di Sukan Olimpik.

Malah, beliau membayangk­an pihaknya sedia menjadi ‘orang tengah’ dalam memulakan rundingan bersama Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) memandangk­an usaha berkenaan membabitka­n polisi kerajaan.

Sebelum ini, Malaysia pernah memberi taraf kerakyatan - buat jaguh angkat berat kelahiran Indonesia, Hidayat Hamidon; penembak Ukraine, Irina Maharani dan atlet dari China, Yuan Yu Fang bagi membolehka­n mereka mewakili negara sewaktu menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

Pada 2011, atlet terjun kelahiran China, Huang Qiang juga diberikan status yang sama untuk membolehka­n Malaysia mempunyai wakil dalam Sukan Olimpik 2012.

Menerusi laporan khas BH Sukan bermula Jumaat lalu, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Mazlan Ahmad percaya dengan berbaki kurang daripada 441 hari sebelum Sukan Olimpik menyingkap tirainya. Ia menjadi antara jalan pintas terbaik untuk Malaysia memberi taraf kerakyatan kepada atlet asing dalam usaha menamatkan kemarau pingat emas pertama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia